‘Ardell Aryana ditumbuk, rambut ditarik tentera Zionis’

1 week ago 13

PETALING JAYA – Pelakon dan aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Ardell Aryana dimasukkan ke sebuah hospital di Istanbul, Turkiye bagi menerima rawatan susulan selepas mengalami tekanan darah rendah dan kecederaan ketika berada dalam tahanan rejim Zionis baru-baru ini.

Perkara tersebut disahkan suaminya yang juga pelakon Nadzmi Adhwa selain memberitahu perkara tersebut berlaku disebabkan layanan kejam oleh tentera Israel.

“Dia alami tekanan darah rendah. Mereka semua dah kena tahan, mungkin sudah terlalu penat, ‘disidai’ beberapa jam dengan Israel semua dan kena macam-macam.

“Memang tak dapat makan, minum, dan diperlakukan seperti binatang dengan kena rentap hijab. Memang sakit hati namun saya pun masih tak dapat cerita penuh buat masa ini.

“Cuma dapat berita (Ardell di hospital) dari laporan berita televisyen hari ini,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Dalam masa sama, dia berharap irang ramai dapat terus mendoakan kesihatan isterinya agar kembali sihat.

“Buat masa sekarang, insya-Allah dia akan stabil dan minta doa daripada semua.

“Doakan dan dia balik nanti,” ujarnya.

Sementara menerusi laporan Buletin Utama hari ini, Peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) iaitu Fahmi Abd Moin mengesahkan Ardell dan seorang lagi aktivis iaitu Haikal Abdullah.

Menurutnya, Ardell dizalimi dengan kejam oleh tentera Israel dengan ditumbuk pada bahagian muka dan rambut juga ditarik.

“Dia juga dalam keadaan tidak sihat dan ada tekanan darah rendah sebelum dibawa ke hospital hari ini.

“Haikal pula telah dipijak rejim Zionis di bahagian tangan dan jarinya mengalami sedikit masalah serta perlukan rawatan lanjut,” katanya.

Semalam, kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF selamat tiba di Turki selepas ditahan oleh rejim zionis ketika berlayar di zon merah sebelum memasuki perairan Gaza.

Selain Ardell, selebriti wanita lain yang turut menyertai misi tersebut ialah Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Zizi Kirana. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |