‘Ada yang tabur fitnah’ – Chef Wan masih pegang saham restorannya

16 hours ago 7

PETALING JAYA – “Saya masih ada hak bersuara dalam syarikat”.

Demikian respons cef selebriti Datuk Chef Wan mengenai laporan berhubung penjualan restoran De. Wan 1958, sekali gus menjadikan dirinya bukan lagi pemilik rangkaian perniagaan F&B berkenaan.

Chef Wan atau nama sebenarnya, Redzuawan Ismail,67, bertegas, dia masih mengekalkan 20 peratus pegangan ekuitinya dalam syarikat Metta Food & Lifestyle Sdn. Bhd yang mengendalikan rangkaian restoran De. Wan 1958.

Bahkan Chef Wan juga masih bertanggungjawab menguruskan resepi, dapur dan cef di restoran tersebut.

“Saya jelaskan di sini selain ekuiti 20 peratus, saya juga mengambil 5 peratus hasil kasar setiap bulan untuk perbelanjaan sara hidup saya,” katanya menerusi Instagra.

Dalam pada itu, Chef Wan memberi amaran untuk mengambil tindakan saman kepada pihak yang menabur fitnah dan mahu memboikot perniagaannya gara-gara pertukaran pemegang saham.

“Saya membaca sebahagian daripada mereka yang kurang cerdik komen konon perniagaan saya bukan milik saya sahaja, tetapi pelabur Cina dan ada juga yang mencadangkan untuk memboikot perniagaan saya atau menabur fitnah.

“Tolong berhati-hati dalam menulis (komen) kerana kami boleh mengambil tindakan saman terhadap sebahagian daripada kamu yang menabur fitnah dan keluarkan cerita yang bukan-bukan,” ujarnya.

Terdahulu kecoh dalam media sosial apabila syarikat Metta Food & Lifestyle Sdn. Bhd yang mengendalikan rangkaian restoran di bawah jenama De. Wan 1958 telah diambil alih Oasis Harvest Corp Bhd dengan pemegang saham sebanyak 45 peratus.

Pengambilalihan tersebut bertujuan memperkukuh kehadiran Oasis dalam sektor makanan dan minuman (F&B) di Malaysia dengan pertimbangan tunai sebanyak RM30.8 juta menerusi jenama sajian dimiliki Chef Wan

Oasis Harvest juga difahamkan telah menandatangani enam perjanjian bersyarat penjualan saham secara berasingan bagi pengambilalihan tersebut, termasuk dengan Globaltec Formation Bhd yang memegang 45 peratus kepentingan dalam Metta.– KOSMO!ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |