Abang ipar sudah 2 minggu tidak tidur, sering berhalusinasi

3 weeks ago 22

KOTA BHARU – Seorang lelaki yang menamatkan riwayatnya sendiri selepas memukul anak saudara hingga parah dengan sebatang tukul di Jelawat, Bachok kelmarin dipercayai tidak tidur selama dua minggu sebelum kejadian tersebut.

Bapa mangsa yang juga adik ipar suspek, Muhammad Badrul Remli, 31, berkata, dia juga tidak berjumpa dengan abang iparnya itu sepanjang tempoh tersebut apabila lelaki berkenaan hanya berkurung di dalam rumah kedai tersebut.

Menurutnya, suspek juga dikatakan sudah lama terlibat dengan penagihan pil kuda selain pernah dua kali ditahan pihak berkuasa.

“Sebelum ini, dia tidak pernah mengganggu isteri dan anak-anaknya termasuk keluarga saya. Dia dikatakan tidak tidur malam sejak dua minggu lalu dan sering berhalusinasi sepanjang tempoh tersebut.

“Saya tidak menyangka dia bertindak luar kawalan apabila sanggup memukul kepala anak saya, Muhammad Ammar, 7, dengan tukul,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian, di sini semalam.

Muhammad Badrul yang bekerja sebagai tukang emas berkata, sebelum kejadian, dia sempat mengambil anaknya bersama dua anak saudara berusia lapan dan 14 tahun yang merupakan anak kepada suspek dari sekolah.

Menurutnya, dia meninggalkan anaknya itu di rumah suspek kerana Muhammad Ammar mahu bermain bersama dua sepupu.

“Selepas itu, saya keluar ke Kota Bharu kerana ada urusan penting. Tidak lama kemudian, saya terkejut apabila menerima panggilan daripada kakak yang memaklumkan Muhammad Ammar dipukul suaminya.

“Saya terus bergegas pulang dan membawa anak sudah berlumuran darah ke Klinik Kesihatan Bachok untuk rawatan. Disebabkan kecederaan yang serius, Muhammad Ammar perlu dihantar ke HPUSM,” ujarnya.

Muhammad Badrul berkata, kakaknya yang ditahan bagi membantu siasatan sudah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 4 petang semalam.

Kosmo! Online kelmarin melaporkan, seorang lelaki menamatkan riwayatnya sendiri selepas memukul anak saudaranya hingga parah dengan sebatang tukul dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jelawat di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, suspek menggantung dirinya pada sebatang pokok ru di Pantai Melawi di sini, manakala mangsa berada dalam keadaan kritikal. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |