92 peratus kenderaan perdagangan, bas belum sahkan alat had laju – JPJ

2 weeks ago 18

KUALA LUMPUR – Sebanyak 92 peratus atau 100,675 buah kenderaan perdagangan dan bas masih gagal membuat pengesahan penggunaan peranti kawalan had laju (SLD) sejak penguatkuasaan ke atas alat itu bermula Rabu lalu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sehingga kini hanya 8,130 kenderaan atau lapan peratus yang telah mematuhi syarat berkenaan.

“Daripada jumlah keseluruhan 108,805 kenderaan yang perlu diperiksa dalam fasa pertama, masih terdapat 2,015 buah bas ekspres, bas pesiaran (5,951) dan kenderaan barangan (92,709) yang belum membuat pengesahan SLD,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Ops Khas SLD Kenderaan Perdagangan di Stesen Penguatkuasa Gombak, malam ini.

Beliau berkata, dalam tempoh tiga hari pertama penguatkuasaan, sebanyak 2,180 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 385 buah kenderaan dikenakan tindakan kerana gagal mengemukakan slip pengesahan kefungsian SLD.

Jelasnya, tindakan itu melibatkan 144 bas ekspres dan 221 kenderaan barangan, dengan kesalahan tertinggi adalah kegagalan mengemukakan slip pengesahan yang disahkan oleh pihak diiktiraf JPJ.

Menurutnya, slip pengesahan berkenaan wajib dikemukakan semasa pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer atau urusan pembaharuan permit dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat atau Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan.

“Selain itu, slip berkenaan perlu disimpan di dalam kenderaan serta diperbaharui setiap dua tahun.

“Tiada kompromi akan diberikan selepas tarikh penguatkuasaan sepenuhnya. Notis 114 (panggilan temu siasat) akan dikeluarkan kepada mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi ketetapan ini,” tegasnya.

Muhammad Kifli berkata, JPJ menolak alasan kelewatan yang sering diberikan, termasuk kekangan masa atau kesukaran mendapatkan slot pengesahan kerana pematuhan adalah mandatori.

“Mana-mana lori atau bas yang didaftarkan selepas 1 Januari 2015 perlu segera membuat pengesahan SLD. Jika gagal, tindakan tegas akan diambil,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |