2 lelaki tersepit dalam van, tiga lagi cedera ringan

2 weeks ago 14

SEBERANG PERAI – Dua pekerja lelaki dilaporkan tersepit di dalam van apabila kenderaan yang mereka naiki itu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Kilometer 165.7 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, pagi tadi.

Mangsa, Mohamad Khairul Azhar Rizzalman, 22 yang merupakan kelinda van jenis Nissan Vanette itu mengalami kecederaan pada badan dan pinggang serta patah kaki manakala rakannya, Adli Zaim Anizan, 22, cedera pada pinggul dan patah kaki kiri.

Dalam kejadian itu, tiga lagi rakan sekerja mereka iaitu M. Shuria Kumar, 22, yang juga pemandu, Muhammad Izharuddin Hairun Reza, 20 dan Aiman Fitri Azhar 22, hanya cedera ringan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, John Sagun Francis berkata, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal dengan dibantu BBP Sungai Bakap.

Mangsa kemalangan di KM165.7 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Nibong Tebal, pagi tadi.

“Terdapat lima mangsa terlibat dalam kemalangan itu dan tiga daripadanya telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam manakala masih dua mangsa lagi tersepit di dalam kenderaan tersebut.

“Mangsa yang tidak tersepit telahpun dibawa dengan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) ke hospital berhampiran,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pasukan melakukan kerja-kerja menyelamat untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan dengan menggunakan peralatan khas ‘Rescue Tool’.

“Kedua-dua mangsa telah dapat dikeluarkan pada pukul 8.15 pagi tadi dan seterusnya dibawa ke hospital berhampiran dengan menggunakan jentera dari Unit Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” ujarnya.

Tambahnya, operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 8.45 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |