Warga Asia Tenggara tempah makanan untuk ‘rider’ di Indonesia

4 hours ago 4

SINGAPURA – Pengguna-pengguna aplikasi mobil di Asia Tenggara menempah makanan dan hadiah lain untuk penghantar bermotosikal atau ‘rider’ di Indonesia, lapor portal berita Channel News Asia semalam.

Ia adalah sebagai tanda solidariti di tengah-tengah protes besar-besaran yang berlaku di seluruh negara itu.

Sejak 25 Ogos lalu, beribu-ribu orang turun ke jalan-jalan di Jakarta dan beberapa wilayah lain di Indonesia kerana membantah peningkatan elaun ahli-ahli parlimen ketika negara itu berdepan ketidaktentuan ekonomi dan pemberhentian pekerja.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, rakyat Malaysia menggunakan aplikasi Grab dan Gojek untuk menempah hadiah kepada penghantar makanan bermotosikal di Indonesia.

Seorang pengguna Facebook di Kuala Lumpur, Mach Pi, contohnya, berkongsi bahawa dia membelanjakan kira-kira 100,000 rupiah (RM26) untuk memesan barangan kepada seorang penghantar makanan bermotosikal di Surabaya.

Dengan berkongsi tangkap skrin pesanan, dia mencadangkan agar memilih lobi masjid berdekatan sebagai lokasi penghantaran dan menulis di ruangan catatan bahawa barangan dipesan itu adalah untuk kegunaan penghantar makanan bermotosikal.

Laman berita Indonesia, VOI melaporkan bahawa seorang pengguna media sosial, @sighyam mula mencetuskan inisiatif itu di platform X pada 30 Ogos lalu.

“Kawan-kawan, saya baru tahu kita boleh sokong penghantar Grab Indonesia yang masih bekerja di jalanan sebab Grab benarkan kita buat penghantaran merentas negara Asia Tenggara,” tulisnya dalam hantaran yang sudah dikongsi semula sebanyak 72,000 kali.

Netizen-netizen Indonesia membalas dengan mesej penghargaan, lapor VOI.

Menurut laman web Grab, sejak Disember 2021 pengguna boleh menghantar hadiah secara terus kepada penerima di Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Thailand melalui ciri penghantaran rentas sempadan yang dinamakan 100+ Cities Delivery.

Pada 30 Ogos lalu, Grab mengumumkan pelancaran inisiatif  ‘treat a driver’ di GrabFood, yang membolehkan pengguna membeli makanan daripada peniaga terpilih untuk menyokong rakan penghantarnya.

“Inisiatif ini bertujuan menyokong rakan pemandu yang terus bekerja demi memenuhi keperluan harian mereka, dan tidak berkaitan dengan demonstrasi,” jelas Grab.

Sebelum ini, sejumlah penunjuk perasaan yang turut menuntut pelbagai reformasi lain, bertempur dengan pihak polis yang membalas dengan melepaskan gas pemedih mata dan meriam air.

Protes itu dilaporkan telah mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang, namun Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nasional Indonesia menyatakan terdapat 10 kematian, termasuk dua penghantar makanan.

Seorang penghantar makanan bermotosikal atau Gojek, Affan Kurniawan, 21, terbunuh pada 28 Ogos lalu di Jakarta Pusat apabila sebuah kenderaan perisai Briged Mobil Polis melanggarnya. 

Ketika itu beliau sedang bekerja dan tidak terlibat dalam protes.

Seorang lagi penghantar makanan bermotosikal Grab, Rusdamdiansyah atau lebih dikenali sebagai Dandi, 26, terbunuh pada 29 Ogos lalu di bandar Makassar, Sulawesi Selatan. 

Dia dipukul hingga mati oleh sekumpulan orang selepas dituduh sebagai pegawai risikan yang menyamar.- AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |