JITRA – Seorang pesara guru berusia 74 tahun membuktikan kasih sayang seorang ayah tiada penghujung apabila dia terus tabah menjaga anak bongsunya yang menghidap cerebral palsy sejak bayi meskipun terpaksa berdepan pelbagai cabaran hidup.
Kisah pesara guru tersebut, Noor Mohamed Bali Mohamed menyentuh hati ramai selepas video dirinya menunggang motosikal sambil membawa anak istimewanya, Mohamad Firdaus, 36, di bahagian hadapan motosikal tular di media sosial baru-baru ini.
Kasih sayang yang ditunjukkan warga emas yang mesra disapa Cikgu Mat Noor itu menyentuh hati netizen sehingga ada yang menyatakan hasrat untuk membantu dua beranak tersebut termasuk membeli motosikal roda tiga.
Ramai juga mengaku mereka adalah bekas anak murid Cikgu Mat Noor yang mengajar mata pelajaran Matematik serta Sains.
Menurut Noor Mohamed, dia tidak menyedari ada individu merakamkan video tersebut dan semasa kejadian, dia dan anaknya dalam perjalanan pulang selepas menziarahi seorang rakan yang sakit.
“Saya memang biasa membawa anak naik motosikal sejak dia kecil, tetapi hanya menunggang bila balik ke Kedah. Saya tinggal di sebuah rumah sewa di Paya Jaras, Sungai Buloh dan hanya balik ke Kedah setahun sekali.
“Di sana (Paya Jaras), saya dan anak tiada kenderaan, hanya bergantung kepada pengangkutan awam. Memang bahaya tunggang motosikal dan kami pernah terlibat kemalangan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sebuah rumah di Kampung Paya di sini semalam.
GAMBAR CIkgu Mat Noor ketika membonceng Firdaus yang tulardi media sosial baru-baru ini.
Terdahulu, Cikgu Mat Noor menerima kunjungan seorang peniaga, Munirah Shukri yang hadir menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan dapur.
Cikgu Mat Noor berkata, dia pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Ahmad selama 27 tahun dan SMK Kuala Nerang selama tiga tahun sebelum bersara pada 2008.
“Tidak lama selepas itu, saya dan anak bongsu tinggal di Sungai Buloh kerana pada waktu itu, ia memudahkan saya membawa anak mendapatkan rawatan pakar di hospital sana.
“Sampai sekarang, saya tinggal di sana dan setahun sekali sahaja akan pulang ke sini untuk menziarahi isteri yang terlantar sakit di Sungai Petani serta saudara-mara di sini,” katanya.
Ketika ditanya tentang kesukarannya menjaga anak istimewa, Cikgu Mat Noor menyifatkan perkara itu sebagai alah bisa tegal biasa kerana sudah menjadi rutin hariannya.
“Saya tidak boleh biarkan dia bersendirian kerana makan dan mandi pun saya perlu pantau dan uruskan,” ujarnya.
Tambahnya, dia bercadang untuk pulang ke Paya Jaras sebelum Ramadan ini dan akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di sana.
Sementara itu, mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Noor Mohamed 152068001513.
@eymahmeloqe #kasihayahsampaisyurga #anakistimewa #fypシ゚viral #fyppppppppppppppppppppppp #sayangsemua ♬ original sound – Eymah meloq
3 hours ago
1

















































