GERIK – Mayat bergelimpangan dalam longkang dan atas besi pengadang jalan merupakan antara disaksikan oleh pasukan operasi menyelamat yang terawal berada di lokasi nahas kemalangan bas Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Malah didakwa ada mayat berada dalam keadaan tidak sempurna akibat kemalangan tersebut yang berlaku antara pukul 1 hingga 2 pagi yang mengorbankan 15 nyawa.
Ketua Balai Bomba Gerik, Mohd. Azizan Abd. Aziz berkata, anggotanya tiba lebih awal mendapati sebahagian mangsa terselamat duduk di luar hadapan bas yang telah terbalik sambil menantikan ambulans.
Katanya, dalam kejadian itu pasukannya perlu mengeluarkan enam lagi mangsa yang masih berada di dalam bas dengan dua daripada mereka masih bernyawa.
“Ada mayat yang berada di dalam longkang dan atas rail (besi pengadang jalan). Sepanjang perkhidmatan saya di sini, ini kemalangan melibatkan paling ramai mangsa, 48 orang,” katanya ketika ditemu bual oleh pemberita di sini hari ini.
Dalam operasi menyelamat dari pukul 1 pagi itu, seramai 17 anggota bomba yang terlibat daripada Gerik dan Jeli selain membabitkan lebih 13 anggota dan kakitangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam.
Mengikut laporan seramai 13 meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi di hospital dengan kesemua mereka adalah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Difahamkan bas tersebut yang disewa oleh sekumpulan pelajar UPSI itu terbabas selepas melanggar belakang kenderaan Perodua Alza di kilometer 53 JRTB Gerik-Jeli.
Jelas Azizan, pihaknya terpaksa membuka bumbung bas untuk mengeluarkan beberapa mangsa yang masih berada di dalam kenderaan tersebut.
Operasi mengalihkan bas yang terbalik itu bermula dari pukul 2.40 petang sehingga 3.15 dan dibawa oleh trak tunda ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik. – KOSMO! ONLINE