[VIDEO] Kisah daif lubang kecil di kubah Masjid Quba

11 hours ago 8

MADINAH – Saat memasuki ­ruang solat Masjid Quba, beberapa jemaah meninjau sebelah kanan kubah utama berhampiran mimbar sebelum mengangkat takbir dan menunaikan solat sunat.

Ini merupakan pemandangan biasa apabila orang ramai mengunjungi masjid pertama dibina oleh Nabi Muhammad SAW.

“Di kubah utama Masjid Quba, terdapat lubang kecil di atasnya. Jika tidak diperhatikan dengan teliti, ramai yang terlepas.

“Betul-betul di bawah lubang itu terdapat dua pandangan iaitu penanda Rasulullah menambat unta dan solat sunat di se­belah haiwan tunggangan itu. Satu lagi adalah tempat baginda solat sunat. Wallahuaklam,” kata Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci, Kamarudin Abd. Hamid.

Diriwayatkan, Rasulullah SAW yang menunggang unta singgah di Quba sebelum masuk ke Madinah dalam peristiwa hijrah.

Oleh itu, ramai jemaah memilih solat sunat di bawah lubang tersebut. Mengikut sejarah, masjid itu didirikan pada Isnin, 8 Rabiulawal 1 Hijrah atas tanah milik keluarga Kulthum bin Al-Hedm dari Kabilah Amru bin Auf.

Turut diriwayatkan, Rasulul­lah SAW sendiri ketika di Madinah berkunjung ke masjid itu hampir setiap Sabtu untuk ­menunaikan solat sunat.

Kamarudin berkata, Rasulul­lah SAW bersabda, barang siapa bersuci di rumahnya kemudian datang ke Masjid Quba dan solat di dalamnya, maka akan mendapat pahala umrah.

“Pastikan bila akan ke Masjid Quba dari penginapan, kita perlu berwuduk, barang siapa yang bersuci zahir maka ganjarannya seperti mengerjakan umrah.

“Di Madinah, tiada ibadah umrah tapi kita dapat kelebihan se­perti mengerja umrah. Oleh itu, adab mahu masuk Masjid Quba dengan kaki kanan, baca doa masuk masjid dan mengerjakan solat sunat,” ujar beliau.

Hari ini petugas media Tabung Haji (TH) dibawa melawat ke Masjid Quba sebagai salah satu program ziarah luar di Madinah.

Sinonim dengan ziarah ke Masjid Quba secara tidak langsung petugas media TH akan menziarahi Telaga Bi’rul Khatam atau lebih dikenali sebagai Telaga Cincin yang terletak di pekarangan masjid berkenaan.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |