KUALA LUMPUR – Pihak polis telah menahan hooligan yang mencetuskan kekecohan di luar Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebelum aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC berlangsung semalam.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, tindakan pantas pihak polis berjaya mengawal keadaan sekali gus memastikan perlawanan akhir dapat diteruskan dalam suasana terkawal dan aman.
Katanya, polis berjaya mengenal pasti sekumpulan individu dipercayai penyokong bola sepak dan bertindak ganas serta bergaduh di hadapan Axiata Arena semalam, malah butiran mereka yang mencetuskan kekecohan turut diambil.
“Saya telah menerima laporan daripada pihak polis. Saya difahamkan ada tangkapan dibuat dan semua butiran telah diambil. Mereka telah diberikan amaran oleh pihak polis.
“Saya kira ini adalah kes hooligan yang mana polis telah mengenal pasti mereka dengan cepat. Bermaksud, jika ada yang datang dengan hasrat untuk membuat huru-hara, mereka tahu polis tidak akan berdiam diri. Sebab itu semua butiran telah diperoleh polis,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penutup Konvensyen Rakan Muda hari ini.
Dalam pada itu, Hannah turut berharap mana-mana individu yang berniat datang ke stadium untuk mencetuskan kekecohan perlu mengubah sikap mereka, memandangkan ramai kanak-kanak turut hadir menyaksikan perlawanan akhir tersebut.
“Kita mempunyai Kod Sukan Selamat (Safe Sport Code) dan ia bukan sahaja terpakai untuk atlet dan jurulatih, tetapi juga untuk peminat-peminat sukan.
“Jadi, saya minta mereka yang datang untuk membuat huru-hara supaya mengubah sikap kerana ia hanya merugikan sukan bola sepak. Apa yang kita mahu ialah laporan yang positif, supaya keluarga rasa ini adalah sukan rekreasi yang boleh dinikmati bersama.
“Kita lihat semalam memang ramai kanak-kanak hadir bersama keluarga. Bagi saya, trend ini adalah sihat dan baik. Jangan rosakkan kerana rakyat Malaysia memang perlukan aktiviti seperti ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE