KUALA LUMPUR – Pelumba sensasi negara, Hakim Danish Ramli terus menunjukkan taring apabila kini mendahului tangga teratas carta keseluruhan Red Bull MotoGP Rookies Cup selepas dua perlumbaan pembuka tirai di Jerez, Sepanyol.
Pelumba berusia 17 tahun itu memperagakan aksi konsisten dengan dua podium tempat kedua berturut-turut, sekali gus mengumpul 40 mata untuk memimpin saingan.
Pada Perlumbaan 2 hari ini, Hakim Danish bermula dari petak utama dan menguasai sebahagian besar saingan sebelum berdepan asakan hebat pelumba lain di pusingan akhir.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pelumba kelahiran Terengganu itu apabila Carter Thompson dari Australia berjaya mencari ruang memintas di selekoh terakhir dan merampas kemenangan dengan perbezaan 0.031 saat.
Tempat ketiga menjadi milik pelumba Amerika Syarikat, Kristian Daniel, manakala Marco Morelli dari Argentina di tempat keempat.

“Saya rasa cukup baik untuk kembali ke podium. Pada perlumbaan tadi, saya agak selesa sepanjang perlumbaan walaupun ada banyak pertarungan.
“Saya cuba sehabis baik untuk menang di pusingan terakhir, tapi belum rezeki. Saya yakin peluang akan datang dan saya akan terus bekerja keras,” kata Hakim Danish.
Dalam kedudukan keseluruhan, Thompson di tempat kedua dengan 38 mata, diikuti Brian Uriarte dari Sepanyol (25 mata), Morelli (24 mata) dan Benat Fernandez (21 mata).
Untuk rekod, Hakim Danish pernah menaiki podium di litar sama tahun lalu dan kini membuktikan kematangannya sebagai antara pelumba masa depan negara di pentas antarabangsa
Kini, Hakim Danish perlu mengekalkan prestasi baiknya itu bagi memenuhi sasaran SIC Racing yang memberi jaminan tempat buat pelumba itu di Moto3 dengan syarat dia perlu mempamerkan keputusan konsisten sepanjang musim ini. -KOSMO! ONLINE