Pegawai kerajaan perlu tingkat kecekapan pentadbiran – Sultan Mizan

9 hours ago 8

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan semua pegawai kerajaan agar meningkatkan kecekapan mereka dalam urusan pentadbiran agar hasil negeri dapat ditingkatkan secara mampan.

Baginda bertitah, pegawai yang cekap, berilmu dan berkemahiran tinggi mampu melaksanakan tugas dengan berkesan termasuk merancang strategi kutipan hasil, mengurus sumber negeri secara optimum serta memastikan penguatkuasaan undang-undang secara tegas dan saksama.

“Seiring dengan perkembangan semasa, Beta melihat penguasaan dalam bidang pengurusan strategik, korporat, kewangan antarabangsa, komunikasi berkesan serta kefahaman yang mendalam terhadap dasar fiskal dan ekonomi semasa amat penting dalam memperkukuh keupayaan pegawai kerajaan.

“Pegawai yang berkaliber bukan sahaja mampu melaksanakan tanggungjawab dengan cekap, malah berkeupayaan mengenal pasti peluang-peluang baharu bagi menjana pendapatan kepada negeri,” titah baginda di Istana Syarqiyyah di sini, hari ini.

Baginda bertitah demikian pada majlis Istiadat Pengurniaan Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Terengganu ke-63.

Sultan Mizan bertitah, pegawai kerajaan juga perlu mengurangkan ketirisan, mengekang pembaziran serta memastikan pengurusan sumber awam dilaksanakan secara berhemah, telus dan berintegriti.

Dalam pada itu, baginda turut menitahkan agar usaha mitigasi dan pemuliharaan pesisir pantai Terengganu yang kini diancam hakisan kritikal diberi perhatian serius demi menjamin kelestarian sumber semula jadi, kesejahteraan komuniti pesisir serta kedaulatan negeri.

Baginda bertitah, hakisan pesisir pantai di negeri ini bukan sahaja mengubah bentuk muka bumi, malah turut menjejaskan sempadan kedaulatan negara, termasuk jarak Zon Ekonomi
Eksklusif (ZEE) iaitu 200 batu nautika dari garisan pantai.

“Perubahan garis pantai akibat hakisan ini juga turut memberikan implikasi besar terhadap pengiraan sempadan maritim sesebuah negeri dan sumber-sumber laut yang dahulunya berada dalam perairan Negeri Terengganu kini berisiko terkeluar daripada sempadannya,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |