LUMUT – Upacara Perbarisan sempena sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-91 bertemakan TLDM Perkasa Kedaulatan Terpelihara telah berlangsung di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok di Pangkalan TLDM Lumut hari ini.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut berkata, upacara yang penuh istiadat itu telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.
Katanya, perbarisan kali ini terdiri daripada enam kontinjen melibatkan 23 Pegawai dan 621 Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Komander Zakirunizam Ismail dan dibantu oleh Pegawai Waran I TMK (JP) Mohd. Izzat Amir Abd. Aziz sebagai Pegawai Waran Perbarisan.
“Acara kemuncak perbarisan adalah penyampaian Piala dan Anugerah kepada para pemenang.
“Markas Pemerintahan Armada Timur telah menerima Anugerah Markas Terbaik bagi tahun 2024,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, KD Lekiu telah dinobatkan sebagai Pemenang Piala Agong, manakala KD Lekir pula dianugerahkan Piala Gonzales dan Piala Panglima Tentera Laut.
“Turut disampaikan adalah Pingat Pujian Panglima Tentera Laut serta Anugerah Bintara dan Laskar Terbaik TLDM.
“Penerima Pingat Pujian Panglima Tentera Laut ialah Leftenan Komander Teknologis (Ts.) Chan Jun Shen yang mengharumkan nama TLDM sehingga ke peringkat antarabangsa dalam bidang inovasi dan sukan apabila dia diiktiraf sebagai Ironman termuda Malaysia sehingga kini.
“Turut menerima pingat itu ialah Pegawai Waran I PAP (PKL) Gilbert Anak Bernabas yang bertindak berani mengawal situasi dalam satu insiden kebakaran dan mempamerkan keberanian bagi mengelakkan risiko kehilangan nyawa dan mengurangkan kerosakan harta benda,” katanya.
Upacara Perbarisan bukan sahaja diadakan di Pangkalan TLDM Lumut, malah turut dilaksanakan serentak di semua markas formasi dan unit TLDM di seluruh negara selain acara kerohanian seperti majlis bacaan Yasin, doa selamat dan khutbah khas Jumaat.
Majlis tahlil juga diadakan sempena memperingati wira yang terkorban dalam insiden helikopter terhempas tahun lalu serta semua warga TLDM yang telah tiada.
Terdahulu, satu forum Panglima Tentera Laut bersama warga Navy People iaitu Program Wacana PTL telah diadakan di Auditorium Venus, Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin.
Dalam program tersebut, pengurusan tertinggi TLDM menekankan tentang fokus perancangan masa hadapan perkhidmatan, termasuk aspek kesiagaan operasi, pengukuhan integrasi bersama angkatan lain serta pembentukan modal insan yang berwibawa.
Aspek kebajikan keluarga turut menjadi tumpuan utama TLDM bagi menjamin kesejahteraan warga Navy People.
Sehubungan itu, Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) telah menganjurkan lawatan kebajikan ke wad 96 HAT Lumut, rumah balu, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) bagi menzahirkan keprihatinan dan menyampaikan sumbangan mengikut keperluan semasa.
Sambutan kali ini diadakan secara sederhana dan berhemah, mengambil kira insiden yang berlaku pada 2024 yang masih meninggalkan kesan mendalam.
Bagaimanapun, masyarakat masih berpeluang mendekati warga TLDM melalui Hari Terbuka Armada (HTA) yang akan berlangsung di beberapa pangkalan utama seperti Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Tanjung Gelang di Kuantan, Sandakan dan Langkawi. – KOSMO! ONLINE