KSN, Panglima Tentera Darat terima darjah kebesaran Sultan Mizan

9 hours ago 9

KUALA TERENGGANU – Seramai 130 orang menerima kurniaan darjah kebesaran dan bintang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-63.

Sultan Mizan berkenan menyampaikan darjah kebesaran dan bintang berkenaan pada majlis istiadat penganugerahan tersebut yang berlangsung di Istana Syarqiyyah di sini hari ini.

Mendahului senarai penerima darjah kebesaran tersebut ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Pengerusi Eksekutif Melati Ehsan Holdings Berhad, Tan Sri Yap Suan Chee.

Mereka dikurnia Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (S.S.M.Z) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad; Konsultan Perhotelan dan Pelancongan Sukan, Abdul Rahman Zabidin dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tuanku Nur Zahirah, Toh Puan Seri Nur Rahmah Mohd. Zin; pula dikurnia Darjah Kebesaran Dato’ Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (D.S.M.Z) yang membawa gelaran Datuk.

Penaung Persatuan Amal dan Kebajikan Bencana Malaysia, Datuk Shaikh Abdul Halim Shaikh Slah Marie Alkathiri dan Pengerusi Eksekutif Medan Mutiara Sdn. Bhd., Datuk Mazli Mohan Alias turut menerima darjah kebesaran berkenaan.

Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (D.P. M.T) yang membawa gelaran Datuk pula dikurnia kepada 23 individu.

Antara penerima ialah tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu iaitu Ariffin Deraman, Hanafiah Mat dan Dr. Azman Ibrahim serta Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Ir. Amiruddin Alaldin.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Jelani Sulung; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd., Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun turut menerima darjah kebesaran berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |