KULIM – Seorang kerani wanita berhadapan detik cemas apabila rambutnya ditarik sehingga terjatuh di atas jalan tar dalam cubaan ragut di rumahnya di Taman Kota Kenari, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa berusia 39 tahun mengalami kecederaan pada pipi kiri serta luka di lutut dan tangan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, ketika kejadian mangsa berada di dapur rumah bersama ibunya serta seorang rakan perempuan.
Katanya, secara tiba-tiba datang sebuah motosikal dinaiki dua lelaki tidak dikenali di lorong belakang sebelum salah seorang suspek meluru masuk ke dalam rumah mangsa.
“Pada masa kejadian rakan mangsa yang berada berdekatan pintu dapur masuk ke dalam rumah dalam keadaan tergesa-gesa, diikuti seorang suspek yang memakai topi keledar.
“Suspek cuba meragut rantai pada leher rakan mangsa, namun gagal apabila mangsa cuba menghalang dengan menolak suspek keluar dari rumah,” katanya di sini hari ini.
Katanya, suspek seterusnya bertindak menarik rantai pada leher mangsa sehingga putus, namun mangsa masih memegang rantainya.
“Berlaku pergelutan dengan suspek menarik rambut mangsa sehingga ke luar rumah dan menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan hingga cedera. Semasa terjatuh, dia ternampak sebilah pisau pemotong kertas terjatuh dari suspek.
“Terdapat seorang lagi suspek dilihat berada di luar rumah yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dengan nombor pendaftaran tidak diketahui. Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri selepas beberapa jiran mangsa datang membantu,” ujarnya.
Tambahnya, mangsa tidak mengenali kedua-dua suspek kerana mereka memakai topi keledar berpenutup penuh dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE