KUALA PERLIS – Kerajaan melantik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mempercepatkan pembinaan Sekolah Sukan Perlis (SSP) yang terbengkalai sejak 2013.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan keprihatinan berhubung projek SSP tersebut.
“Sudah berbelas tahun sukan tiada, sekolah sukan tiada, akhirnya saya putuskan untuk batalkan semua langkah sekarang dan kita lantik syarikat bawah kerajaan seperti Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau Permodalan Nasional Berhad (PNB).
“Saya bagi arahan untuk segerakan tahun ini juga untuk mulakan projek ini dengan kadar segera dengan peruntukan yang perlu bagi menyiapkan sekolah sukan untuk negeri Perlis,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di Dataran Lok 9, di sini hari ini.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat pada majlis itu.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana negeri termasuk Perlis dengan jumlah pemberian langsung dan peruntukan pembangunan tahunan yang disalurkan terus meningkat.
“Bagi Perlis, pada 2022 sebelum Kerajaan Madani ambil alih berapa peruntukan? Peruntukan sebanyak RM168.4 juta pada 2022 dan berapa tambahan pada 2023 iaitu RM182.3 juta.
“Pada 2024 meningkat 25 peratus (secara keseluruhan dari 2022) dan memang Perlis secara relatif peruntukan tidak besar kerana jumlah penduduk yang kecil tetapi pertambahan daripada segi peratus, Perlis antara tertinggi sebanyak RM210.6 juta,” jelasnya.
Tambahnya, peruntukan pembangunan juga meningkat iaitu 2022 sebanyak RM391.91 juta, 2023 RM596.82 juta dan 2024 RM645.58 juta. – KOSMO! ONLINE