GEORGE TOWN – Gangguan bekalan air berjadual (SWSI) di Pulau Pinang yang bermula pada Jumaat lalu dijangka pulih sepenuhnya, pagi esok.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerja-kerja pemasangan paip oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang bermula pada pukul 10 malam, Jumaat lalu telah berjaya disiapkan sepenuhnya tengah hari tadi.
Katanya, berlaku sedikit kelewatan berbanding jadual asal kerana kerja-kerja pemasangan paip terpaksa mengambil masa lebih lama ekoran cabaran di lokasi yang terletak di tebing Sungai Prai serta faktor air pasang besar sepanjang dua hari lalu.
”Kerja-kerja pemasangan sudah disempurnakan. Sekarang, pasukan PBAPP sedang menjalankan ujian dan melepaskan angin dalam sistem paip bagi memastikan kelancaran aliran apabila air mula disalurkan.
”Pemulihan bekalan air untuk 88 peratus kawasan dijangka secara berperingkat bermula malam ini, manakala pemulihan penuh 100 peratus disasarkan tercapai pada pukul 10 pagi, Isnin,” katanya selepas meninjau kerja-kerja pemasangan paip di Kampung Teluk, Seberang Perai Tengah di sini hari ini.
Terdahulu, PBAPP memaklumkan gangguan bekalan air melibatkan lima daerah negeri ini bermula pukul 10 malam Jumaat, dan akan berakhir selewat-lewatnya pukul 10 pagi pada 28 April ini.
Gangguan air yang dijangka memberi kesan kepada 341,708 pengguna air di seluruh Pulau Pinang termasuk beberapa kawasan perindustrian itu susulan henti tugas separa di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua bagi pelaksanaan 23 projek kerja air berjadual di seluruh negeri.
Kon Yeow berkata, pengguna yang telah mula menerima bekalan air diminta menggunakan air secara berhemah bagi membantu mempercepatkan pemulihan di kawasan-kawasan lain yang masih terkesan.
”Keutamaan kini diberikan kepada kawasan Seberang Perai Selatan dan Barat Daya yang berada di penghujung sistem agihan dan biasanya menerima bekalan lebih lewat berbanding kawasan lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE