Presiden Maldives adakan lawatan rasmi pertama ke Malaysia

13 hours ago 8

PETALING JAYA – Presiden Republik Maldives, Dr. Mohamed Muizzu akan mengadakan lawatan rasmi pertama ke Malaysia bermula hari ini hingga 30 April ini sejak dilantik memegang jawatan pada 17 November 2023.

Menurut kenyataan Wisma Putra, beliau akan diiringi beberapa Menteri Kabinet termasuk Menteri Luar Negeri Maldives, Dr. Abdulla Khaleel serta pegawai kanan kerajaan republik itu.

Katanya, pada esok, Dr. Muizzu dijadual menerima sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kedua-dua pemimpin dijangka akan membincangkan isu-isu hubungan dua hala serta peluang kerjasama antara Malaysia dan Maldives.

“Khususnya dalam sektor perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan serta belia dan sukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas kenyataan itu, kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Dalam masa sama, kata Wisma Putra, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan kerjasama dalam bidang pelancongan, sukan dan kesihatan.

Turut akan disaksikan ialah pertukaran dua dokumen Pertukaran Nota (EoN) berkaitan latihan diplomatik dan penubuhan Konsultasi Dua Hala antara Malaysia dan Maldives.

“Anwar juga akan menghoskan Majlis Jamuan Makan Tengah Hari Rasmi bagi meraikan Dr. Muizzu di Kompleks Seri Perdana,” ujarnya.

Selain itu, pada 29 April, Dr. Muizzu dijadual menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Kepimpinan Islam dan Pembangunan Madani daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Penganugerahan ijazah kehormat ini akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj selaku Ketua Perlembagaan UIAM,” jelasnya.

Sempena penganugerahan itu, Dr. Muizzu akan menyampaikan syarahan umum bertajuk “The Intellectual Renaissance: Unveiling the Scientific and Modern Developments of Islamic Civilisation”.

Pada tahun 2024, jumlah dagangan Malaysia dan Maldives mencatatkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus kepada RM862.7 juta (USD189 juta), berbanding RM827.3 juta (USD180.9 juta) pada tahun
2023.

Republik Maldives merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |