PETALING JAYA – Seorang individu kerugian RM5,000 selepas diperdaya sindiket yang menyamar sebagai ejen hartanah dengan menawarkan rumah sewa murah namun sebenarnya hanyalah unit Airbnb.
Menerusi perkongsian di laman X milik @Mhmmdhsm, mangsa dikatakan mencari rumah untuk disewa bagi keluarganya apabila melihat iklan di sebuah platform hartanah terkenal dan berurusan dengan individu terbabit.
Dia kemudiannya berjumpa dengan suspek, bersetuju menyewa rumah berkenaan dan menandatangani perjanjian sewa. Dia turut menerima dua set kunci serta kad akses selain memeriksa akaun bank ejen tersebut yang kelihatan sah.
Bagaimanapun, selepas bayaran RM5,000 dibuat, mangsa mendapati rumah itu sebenarnya adalah unit Airbnb yang disewa secara harian oleh sindiket terbabit.
Lebih mengejutkan, modus operandi itu bukan sahaja melibatkan seorang mangsa, malah beberapa individu lain turut berkongsi pengalaman yang hampir sama.
Dalam satu lagi perkongsian di laman Threads milik @Schael_, dia mendedahkan pengalaman hampir menjadi mangsa ketika mencari rumah sewa baru-baru ini.
“Semalam saya pergi tengok rumah. Rumah itu bersih, kemas, penghawa dingin siap dipasang, ada cadar, tuala dan WiFi. Macam hotel,” katanya.
Menurutnya, dia mula berasa curiga apabila melihat tuala digulung rapi seperti di Airbnb, namun wanita yang menyamar sebagai ejen mendakwa semua kemudahan itu termasuk dalam kos sewaan.
Lebih mencurigakan, rumah tersebut ditawarkan pada harga RM1,800, jauh lebih murah daripada harga pasaran sekitar RM2,500.
Suspek juga dilaporkan mendesak bayaran deposit segera kononnya kerana ramai berminat dengan unit berkenaan.
“Saya hampir tertipu, tetapi bernasib baik kerana memilih untuk tangguh dahulu. Sebelum ini saya pernah hampir terkena di kawasan perumahan Eco Cheras dan Vivo Seputeh,” katanya. -KOSMO! ONLINE