‘Ramai baik hati nak bantu pendidikan saya’

10 hours ago 8

MELAKA – Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, Nur Qalidah Farhana, 18, tidak menyangka kegigihannya bekerja di hentian rehat dan rawat (R&R) di Pagoh, Johor demi mengumpul wang untuk melanjutkan pengajian mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah (Mozac), Ayer Keroh itu, pelbagai pihak tampil menghubungi gurunya selepas kisahnya dikongsikan media Kosmo! menerusi platform digital semalam.

Ujarnya, dia yang memperoleh keputusan 9A telah membuat permohonan pengajian ke Universiti Teknologi Petronas (UTP) kelmarin dan berharap akan terpilih sebagai salah seorang penerima biasiswa yang disediakan di bawah Yayasan UTP.

“Saya amat bersyukur dan terharu kerana ramai yang mendoakan dan memberi kata-kata semangat. Saya benar-benar tak sangka kisah saya mendapat perhatian ramai.

“Cikgu maklumkan bahawa ada beberapa pihak termasuk dari Alumni Mozac berminat untuk membantu, alhamdulillah tak sangka masih ada insan yang prihatin dengan nasib anak kampung seperti saya,” ujarnya dengan nada sebak ketika dihubungi hari ini.

Nur Qalidah berkata, dia turut menerima tawaran pengajian daripada beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), termasuk cadangan melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Tapi ibu cadangkan saya belajar di dalam negara dahulu dan sekiranya sudah bekerja bolehlah saya lanjutkan pengajian ke luar negara pula.

“Sekarang saya masih bekerja sambilan di R&R Pagoh sambil mengumpul pengalaman dan sedikit wang saku untuk menampung perbelanjaan harian di universiti nanti,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Dalam pada itu, dia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ibu bapa, adik-beradik, guru-guru serta rakan-rakan yang tidak jemu memberi dorongan dan mendoakan kejayaannya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |