‘Saya malu pelajar tahu saya penyanyi’

9 hours ago 4

SEJAK beberapa tahun lalu, cerita kerjaya Farisha Iris semakin dipinggirkan, sebaliknya kisah percintaan dan perhubungannya yang paling mendapat tumpuan. 

Tahun lalu, pemilik nama lengkap Farisha Asmadi itu ibarat hilang dari radar apabila namanya seperti terus tenggelam.

Di sebalik kehilangan, si genit itu rupa-rupanya sedang berusaha membina kerjaya baharu dalam bidang pendidikan dan memberi laluan kepada pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) yang dijalani. 

Keputusan tersebut dibuat memandangkan kontraknya bersama syarikat rakaman, Seventeen Eleven Music sudah tamat pada awal tahun ini. 

“Sekarang mahu cuba bidang baharu. Kalau ada, ada lah tawaran (menyanyi) sebab saya dah habis kontrak dengan Seventeen Eleven Music bulan Februari lalu. 

“Memang buat keputusan nak perlahankan karier sekarang. 

“Tawaran menyanyi yang ada pun buat persembahan pada acara tertentu, tiada komersial atau saluran arus perdana,” katanya kepada HibGlam. 

Berkongsi lanjut, penyanyi berusia 26 tahun itu tekad mahu melompat ke bidang pendidikan kerana lebih memberikan ketenangan. 

“Saya cuba bidang baharu sebab lebih menjamin dan menjanjikan ketenangan. Kalau ‘freelance’ kena kejar jualan dan betul-betul kena jual diri. 

“Lagi pun, ramai pendatang baharu. Saya juga sambut kedatangan mereka untuk meriahkan industri hiburan,” jelasnya. 

Pensyarah termuda

Farisha yang kini bergelar pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta mengakui teruja menceburi bidang akademik.

“September tahun lepas saya mula jadi pensyarah mengajar masscomm (komunikasi dan media) untuk pelajar ijazah sarjana muda. 

“Seronok sebenarnya jadi pensyarah.Saya ada juga cuba minta universiti awam tetapi masih dalam tahun pertama PhD,” tutur pelantun lagu Tak Malu itu. 

Ditanya, sekiranya universiti menetapkan sebarang syarat, Farisha lega apabila tidak terikat, namun mengambil langkah berjaga-jaga dalam melakukan apa jua tindakan. 

“Universiti tidak bagi syarat tetapi sekarang banyak benda pelik, jadi sebelum kongsi apa-apa dalam media sosial saya berjaga-jaga. Tetapi sekarang baru faham perasaan pensyarah atau guru bila budak-budak tidak faham cakap.

“Pelajar sukalah dapat pensyarah paling muda yang tak marah-marah,” katanya.

Farisha juga mengakui kurang dikenali sebagai penyanyi tetapi agak malu selepas pelajar-pelajarnya mengetahui latar belakangnya.

“Kebanyakan mereka adalah Gen Z. Jadi tidak ambil tahu sangat mengenai saya. 

“Big Stage pun orang dah lupa. Pelajar tahu saya penyanyi menerusi TikTok tetapi saya malu juga apabila mereka tahu. 

“Bila tengah mengajar ada pula yang minta saya menyanyi tetapi kalau nak menyanyi kena bayar,” selorohnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |