JEDDAH – Jurulatih Al Nassr, Stefano Pioli menarik nafas lega apabila Jhon Duran berjaya menamatkan kemarau gol dalam empat perlawanan untuk membantu pasukan ke separuh akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menewaskan Yokohama F. Marinos 4-1 awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium Prince Abdullah itu, Duran meledak dua gol selain sumbangan satu jaringan masing-masing daripada bintang senior, Sadio Mane dan Cristiano Ronaldo.
Kata Pioli, ketajaman Duran di atas padang sememangnya ditagih dalam memastikan impian pasukan untuk melangkah jauh pada kejohanan ACLE kali ini menjadi kenyataan.
“Duran adalah pemain penting dalam pasukan, sudah tentu kami harapkan dia sentiasa berada pada tahap terbaik dan saya berbangga dia dapat menamatkan kemarau jaringan.
“Mengenai perlawanan, kami berjaya mendominasi aksi kali ini sepenuhnya tetapi pujian wajar diberikan kepada pasukan lawan yang masih mampu berikan saingan sengit khususnya pada babak kedua,” katanya.
Sementara itu, pengendali Yokohama, Patrick Kisnorbo merasakan aksi gugup dipamerkan oleh barisan pemainnya sehingga dibolosi 0-3 dalam babak pertama menjadi antara punca gergasi Jepun tersebut tumbang.
“Kami cuba untuk memberi tentangan pada awal saingan tetapi segalanya musnah selepas lawan menjaringkan gol pertama.
“Kemudian, situasi bertambah parah apabila kami dibolosi tiga gol yang sepatutnya boleh dielakkan,” katanya.
Sebagai rekod, Al Nassr menjadi wakil ketiga dari Arab Saudi melangkah ke pentas separuh akhir ACLE mengiringi Al Hilal dan Al Ahli dengan satu lagi slot bakal diisi antara satu lagi gergasi Jepun, Kawasaki Frontale atau wakil Qatar, Al Sadd. – AGENSI