Ibu hamil dua bulan maut, motosikal dirempuh SUV

7 hours ago 5

KOTA BHARU – Hajat seorang ibu yang hamil dua bulan untuk membuat pemeriksaan kandungan buat kali pertama tidak kesampaian selepas maut dalam nahas melibatkan motosikal ditunggang suaminya yang dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di kawasan lampu isyarat dekat Pasir Tumboh di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, Siti Nur Ain Ismail, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya, Syakirin Faizul, 25, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dihantar ke ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini selepas tidak sedarkan diri.

Ibu kepada Nur Ain, Rohani Awang Noor, 61, berkata, anak dan menantu itu sedang dalam perjalanan ke rumah ibu mentuanya di Pasir Tumboh di sini kira-kira pukul 11.30 malam.

Menurutnya, arwah Nur Ain yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik datang ke rumahnya sebaik sahaja pulang dari bekerja di sebuah pasar raya kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

“Semasa berada di rumah, arwah ada memaklumkan kepada saya bahawa dia sudah borang mengisi borang berhenti bekerja, namun masih bertugas sementara menunggu pekerja baharu masuk menggantikannya.

“Kami juga berbual-bual dan dia tidak sabar untuk membuat pemeriksaan kandungan kali pertama di klinik kesihatan hari ini selepas dua bulan hamil. Arwah sebelum ini pernah mengandung, namun mengalami keguguran ketika usia kandungannya mencecah lima bulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian di sini hari ini.

Rohani menunjukkan gambar arwah Siti Nur Ain bersama suaminya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian,Kota Bharu hari ini. FOTO ROHANA MOHD. NAWI/KOSMO!

Rohani memberitahu, arwah kelihatan sangat gembira dan sering mengulang-ulang mahu pergi ke klinik kesihatan untuk membuat pemeriksaan kehamilan.

Menurutnya, dia tidak menyangka kegembiran anak bongsunya itu merupakan satu petanda arwah mahu pergi meninggal keluarga buat selama-lamanya.

“Selepas tidak berapa lama arwah bersama suaminya keluar, adik ipar saya datang ke rumah dan memaklumkan Nur Ain terlibat dalam kemalangan dengan sebuah SUV jenis Nissan X-Trail.

“Saya bersama suami dan anak-anak yang lain bergegas ke lokasi kejadian, namun Nur Ain sudah meninggal dunia manakala menantu pula cedera parah,” katanya.

Rohani berkata, jenazah Nur Ain dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Wakaf Stan di sini sebelum solat zuhur hari ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |