Malaysia, Maldives komited perkukuh solidariti Islam

6 hours ago 5

PUTRAJAYA – Malaysia dan Maldives menegaskan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh solidariti Muslim dan menegakkan nilai-nilai sebenar yang diajari agama Islam.

Komitmen itu dibuat kedua-dua negara menerusi kenyataan bersama dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Maldives, Dr. Mohamed Muizzu menerusi kunjungan beliau ke Malaysia hari ini.

Menurut kedua-dua pemimpin itu, cabaran antarabangsa juga perlu diselesaikan secara damai termasuk isu Palestin selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kata kenyataan bersama itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan is antarabangsa yang kritikal khususnya konflik berterusan yang menjejaskan umat Islam di seluruh dunia serta situasi kemanusiaan di Myanmar akibat gempa bumi.

“Kedua-dua Pemimpin menekankan kepentingan penyelesaian yang adil dan berkekalan dalam menangani cabaran demi membawa keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Wisma Putra di sini hari ini.

Pada masa sama, kedua-dua pemimpin turut mengecam tindakan keganasan yang dibuat dalam semua bentuk serta menyeru semua negara menolak sekeras-kerasnya perkara berkenaan.

“Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk terus berkongsi maklumat serta amalan terbaik dalam usaha menangani cabaran dibawa oleh ancaman keganasan termasuk ancaman tradisional dan bukan tradisional,” katanya.

Dalam pada itu, kedua-dua negara bersetuju memperkukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang berdasarkan semangat saling menguntungkan.

“Lawatan ini telah menetapkan nada positif untuk hubungan masa hadapan dan meletakkan asas kepada kerjasama yang lebih erat pada tahun akan datang.

“Ia turut mengukuhkan komitmen bersama kedua-dua negara dalam memupuk keamanan, kemakmuran dan pembangunan mampan di samping menangani cabaran global dan serantau yang mendesak,” katanya.

Menurut kenyataan bersama itu, Anwar dan Dr. Muizzu turut mengiktiraf keperluan mengekalkan pertukaran secara berkala termasuk mengadakan rundingan dua hala serta penyelarasan rapat di pelbagai peringkat.

Katanya, ia turut menggalakkan pertukaran pandangan, idea dan pendapat berhubung isu-isu antarabangsa di luar sidang mesyuarat dan persidangan antarabangsa seperti PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam selain kerangka organisasi antarabangsa yang lain. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |