PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu kereta jenis Proton Wira yang dipercayai membaling mercun di atas jalan raya ketika kenderaan lain sedang melalui kawasan berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (Kontar), Pulau Pinang tersebut mengundang kecaman orang ramai.
Kejadian itu dirakam kamera seorang penunggang motosikal yang kebetulan berada di lokasi sama sebelum video tersebut tular di media sosial sejak semalam.
Menerusi rakaman berdurasi kurang satu minit tang dimuat naik pengguna TikTok @adyainiey66, kelihatan sebuah Proton Wira berwarna putih memperlahankan kenderaan sebelum pemandu bertindak membaling objek dipercayai mercun ke tengah jalan.
Beberapa saat kemudian, mercun tersebut meletup ketika beberapa kenderaan lain berada berhampiran, sekali gus mengejutkan pengguna jalan raya.
“Kejadian di Komtar, Pulau Pinang. Kereta Wira putih baling mercun bola. Masa kejadian tak nampak kereta tu yang baling. Lepas tengok balik video baru nampak. Nombor plat (pendaftaran kenderaan) dia kecil tak jelas dalam video,” kata pemilik video.
Apa yang lebih mencetuskan kemarahan, pemandu kereta terbabit dilihat terus memecut meninggalkan lokasi sejurus selepas membaling mercun berkenaan.
“Dah baling, pandai pecut kereta. Ingat kelakar sangat ke buat macam ni atas jalan?” tulis Shamir.
Seorang lagi pengguna menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh mengundang kemalangan sekiranya ada penunggang motosikal yang hilang kawalan akibat terkejut dengan letupan kuat itu.
“Boleh punca kemalangan, tolong cari sampai dapat pemandu Wira tu,” tegas Anuar.
Rata-rata orang ramai menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat kerana perbuatan tersebut bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE
@adyainiey66 Kejadian di komtar pulau pinang. Kereta wira putih baling mercun bola #pdrm #pdrmmalaysia @pdrmsia_rasmi ♬ bunyi asal – 🇲🇾ADY_MOTOR_RUNNER_VLOG💨
3 hours ago
2

















































