‘Ubah muka? Saya memang langsung tidak terfikir’

3 hours ago 2

KUALA LUMPUR – “Takut nak buat muka.”

Demikian kata pelakon Liyana Jasmay yang menafikan pernah melakukan sebarang pembedahan plastik untuk mencantikkan wajahnya.

Sebaliknya, kata Liyana, 38, dia sanggup terbang ke Korea Selatan setahun sekali hanya untuk melakukan rawatan wajah dan mencantikkan kulit dengan doktor pakar kulit di sana.

“Ubah muka? Saya memang langsung tidak terfikir. Takutlah, saya hanya berani buat rawatan kulit dan wajah sahaja.

“Saya tidak buat apa-apa pun (bedah plastik). Saya ke sana setahun sekali untuk jumpa pakar dan dapatkan rawatan seperti skin boosting dan kolagen. Itu sahaja,” ujarnya.

Tambah Liyana, dia bukan sengaja terbang ke Korea Selatan tetapi rawatan kulit yang diinginkan tiada di Malaysia.

Bahkan klinik dipilih terletak di Gangnam, Korea Selatan yang menawarkan rawatan bertaraf premium dan tidak dikunjungi oleh pelancong-pelancong.

“Saya pergi Korea Selatan sebab rawatan tersebut memang tiada di Malaysia. Saya ada tanya doktor di klinik di sini dan mereka kata rawatan itu hanya ada di Korea, jadi mereka sarankan ke sana.

“Saya buat kajian selama berbulan-bulan untuk cari doktor yang sesuai kerana rawatan pada muka memang perlu berhati-hati.

“Kos rawatan sekitar RM1,600 dan saya buat setahun sekali. Rawatan lain masih boleh dibuat di Kuala Lumpur. Saya sudah dua kali pergi ke sana. Sambil rawat muka sambil melancong,” katanya.

Sebelum ini, Liyana dalam hantaran di Instastory berkongsi bersedia untuk tampil dengan transformasi baharu pada tahun 2026.

Secara berseloroh, Liyana berhasrat mahu mancungkan hidung, buang garisan di leher selain pembedahan bahagian rahang.

Tetapi menurut Liyana hantaran tersebut sekadar ujian yang dilakukan untuk melihat reaksi netizen sama ada percaya atau tidak setiap kandungan yang dipaparkan di sosial media terutama selebriti sepertinya.

“Mana ada saya buat muka, saya hanya melawak saja. Sebenarnya saya saja ‘trigger’ netizen. Saya suka untuk melihat reaksi orang ramai.

“Adakah mereka percaya bulat-bulat apa sahaja kandungan di sosial media atau tidak peduli? Bila ramai percaya, saya sendiri pun terkejut,” katanya sambil ketawa.

Liyana berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Fantasi Fiksi yang berlangsung di Kuala Lumpur pada petang Khamis.

Drama romantik komedi yang disiarkan di platform penstriman UTV itu diarahkan oleh Tam Suhami dan turut dibintangi oleh Sharifah Amani, Iedil Dzuhrie Alaudin, Sazzy Falak, Amy Mastura serta Sherry Alhadad. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |