Tiada pelajar Malaysia terlibat rusuhan di Indonesia – Zambry

8 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memberi jaminan bahawa tiada pelajar Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas susulan insiden rusuhan yang berlaku di beberapa kawasan di Indonesia ketika ini.

Menurut beliau, terdapat lebih 1,200 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di pelbagai institusi pengajian tinggi di negara jiran itu, namun setakat ini semuanya berada dalam keadaan selamat.

“Alhamdulillah, kita tidak mendapat sebarang berita yang melibatkan pelajar-pelajar Malaysia di sana.

“Walau bagaimanapun, kita terus memantau keadaan secara dekat bersama Wisma Putra dan juga wakil Education Malaysia Indonesia (EMI). Mereka sentiasa memberikan maklum balas terkini kepada pihak kita,” katanya pada sidang akbar di sini hari ini.

Terdahulu, Zambry hadir melancarkan Buku ‘Education Of The Interior: Essays In Honour Of Professor Syed Ali Ashraf’, penubuhan Institute of International and ASEAN Studies (IINTAS), serta pembukaan seminar antarabangsa mengenai ASEAN Futures di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) di sini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, pemantauan dilakukan secara menyeluruh memandangkan kesan rusuhan bukan hanya tertumpu di Jakarta, sebaliknya melibatkan beberapa daerah lain.

Tegasnya, pihak EMI telah menasihatkan pelajar supaya mengelak daripada berada di kawasan terjejas.

“Kita percaya pihak berkuasa Indonesia mengambil langkah terbaik untuk memastikan keadaan kembali pulih.

“Dengan kepimpinan pemerintah Indonesia sekarang, saya yakin mereka mampu mengatasi masalah ini demi keselamatan rakyat mereka dan juga kestabilan serantau,” jelasnya.

Beliau pada masa sama mengharapkan keamanan segera kembali di Indonesia, memandangkan hubungan rapat kedua-dua negara dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan, ekonomi dan budaya.

“Kita sering ke sana, hubungan kita sangat akrab. Sebab itu kita mendoakan agar keadaan kembali aman, memberi kebaikan kepada rakyat Indonesia dan juga negara-negara jiran termasuk Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Polis Indonesia menahan lima individu semasa demonstrasi di hadapan Ibu Pejabat Polis Makassar, Sulawesi Selatan, manakala seorang lagi ditahan di Pangkep atas dakwaan memprovokasi peserta protes.

Menurut pihak berkuasa, demonstrasi yang dianjurkan oleh kumpulan pelajar berlangsung di Jalan Ahmad Yani sebelum bertukar tegang apabila peserta membakar tayar dan menutup laluan utama. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |