Tender Pusat Data: Pengarah, bekas pengarah didakwa rasuah RM2.4 juta 

3 hours ago 2

SHAH ALAM – Dua termasuk bekas pengarah syarikat kontraktor elektrik didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan rasuah lebih RM2.4 juta bagi mendapatkan tender berkaitan projek pembinaan pusat data pada 2024 dan 2025 lalu.

Tertuduh, Seow Kian Ang, 53, dan Yong Chun Jiat, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.

Kian Ang yang merupakan pengarah syarikat sistem keselamatan didakwa empat pertuduhan memberi sejumlah wang RM1.352 juta kepada seorang lelaki berusia 34 tahun, yang juga pengurus kontrak sebuah syarikat, melalui seorang lagi lelaki berusia 39 tahun.

Ia sebagai upah membantu syarikatnya mendapatkan tender ‘Sub-Contractor for Design, Planning, Supply, Delivery, Installation, Testing, Commissioning, Warranty and Comprehensive Maintenance of Security System’.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bandar Sunway dan Ara Damansara di sini, antara 1 Ogos 2024 dan 10 Julai 2025.

Chun Jiat pula didakwa enam pertuduhan memberi suapan tunai berjumlah RM1.05 juta kepada pengurus kontrak sama.

Ia sebagai upah membantu syarikat tertuduh mendapat tender ‘Sub-Contractor for Design, Planning, Supply, Delivery, Installation, Testing, Commissioning, Warranty and Comprehensive Maintenance of Electrical Low Voltage Works (External LV Package) (Sub-Contract)’.

Perbuatan itu dilakukan di Bandar Sunway, Ara Damansara, Temasya Square Glenmarie antara 5 Ogos 2024 dan 18 Mei 2025.

Pertuduhan dikemukakan kepada Kedua-dua mereka dibuat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Ezlin Yusop Khan mencadangkan jaminan RM500,000 bagi setiap tertuduh dengan masing-masing seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport, melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, Peguam Datuk Geethan Ram mewakili Kian Ang manakala Chun Jiat diwakili Peguam Datuk N. Sivananthan merayu pengurangan jaminan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin setiap tertuduh sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin selain dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi.

Sebutan semula kes pada 16 Mac depan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |