MELAKA – Ibu kepada kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang tular memakai kostum Spiderman bersama seorang lelaki dipercayai bagi mengemis di sebuah stesen minyak di Cheng Ahad lalu mendakwa tidak mengetahui perkara itu berlaku.
Nor Hafika Mohd. Shamsul, 30, berkata, dia terkejut apabila pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang ke rumahnya untuk melakukan siasatan berhubung kejadian tersebut.
Jelasnya, lelaki terbabit merupakan bapa angkatnya yang dikenali hampir 20 tahun dan sebelum ini anak sulungnya itu, Nurul Qadhirah Abdul Rahim sekadar memberitahu seronok mengikut datuknya itu memakai kostum.
“Saya bekerja sebagai pengasuh dan terkejut apabila pegawai JKM datang ke rumah di Kampung Bukit Rambai pada hari kejadian, Ahad lalu maklumkan anak saya minta simpati orang ramai.
“Saya memang marah sebab saya tak pernah suruh dia minta duit orang dan kostum itu bukan dibeli, tetapi kami ambil di pusat pengumpulan pakaian terpakai di Masjid Tangga Batu pada Disember tahun lalu kerana dia suka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Rumput di sini, hari ini.
Menurutnya, anaknya itu juga pernah memberitahu dia gemar memakai kostum Spiderman kerana ramai kanak-kanak akan teruja melihatnya.
“Balik rumah dia cerita seronok sebab ramai budak-budak suka tengok. Itu sahaja. Saya memang tak tahu dia ikut bapa angkat saya dan berdiri di sana (mengemis).
“Memang kami berdepan kesempitan hidup selepas suami, Mohd. Nazry Mohd. Ali, 40, tidak lagi bekerja susulan menjalani pembedahan dan bergantung kepada bantuan bulanan JKM sebanyak RM250, tetapi saya tak pernah suruh dia mengemis,” ujarnya.
Ujarnya, dia turut malu apabila kejadian itu tular, malah anaknya itu juga menyesal dan berkali-kali meminta maaf selepas diserbu penguat kuasa JKM di lokasi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, semakan mendapati keluarga berkenaan menerima bantuan am bulanan RM250 daripada JKM sejak tahun lalu.
Katanya, pihaknya bagaimanapun sedang meneliti keperluan untuk menambah kadar bantuan tersebut dengan mengambil kira situasi semasa keluarga terbabit.
Terdahulu, Kosmo! pada Ahad lalu melaporkan seorang lelaki ditahan selepas disyaki mempergunakan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun untuk mengemis dengan memakai kostum ‘Spiderman’ di sebuah stesen minyak di Cheng, di sini.
Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan JKM negeri yang diketuai Kalsom kira-kira pukul 6 petang.
Kalsom berkata, serbuan itu dibuat hasil maklumat orang ramai yang mendakwa simpati dengan nasib kanak-kanak tersebut apabila terpaksa ikut mengemis dalam cuaca panas dan hanya berteduh menggunakan payung dibawa. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3

















































