Suami hentak kepala isteri guna lesung batu sampai mati

3 hours ago 1

KOTA TINGGI – Seorang wanita yang sarat hamil tujuh bulan ditemui maut di dalam sebuah bilik rumah sewa di Kampung Makam di sini dipercayai dibunuh suaminya sendiri dalam kejadian menyayat hati awal pagi tadi.

Mangsa berusia 34 tahun ditemui sudah tidak bernyawa kira-kira pukul 7 pagi hari ini dalam keadaan berlumuran darah.

Menurut tuan rumah, Atikah Sulaiman, 44, suspek datang ke rumahnya subuh tadi dalam keadaan tenang sambil memimpin tangan anak sulung mereka yang berusia empat tahun.

“Dia datang macam biasa saja, baju bersih, tak ada kesan darah. Siap minum air kotak lagi dengan anaknya. Dia beritahu nak buat laporan kepada suami sebab isterinya ada lelaki lain dan dakwanya kandungan tujuh bulan itu bukan anak dia.

“Saya tanya mana isteri? Dia cakap isteri dalam bilik, dia sudah matikan. Kami ketika itu ingat dia bergurau. Suspek kemudian pergi ke bilik mereka dan menunjukkan isterinya sudah berlumuran darah dan tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Atikah berkata, pasangan itu sudah lima tahun menyewa di rumah berkenaan dan mempunyai seorang anak perempuan, mangsa dan suami baru kira-kira dua bulan pulang ke rumah sewa mereka selepas menetap di Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan susulan penyakit lelaki itu.

“Dulu suami mangsa kerja potong rambut, tapi lepas balik sini dia tak bekerja. Menurut isterinya, suaminya itu ada masalah kesihatan mental sebab itu mereka pergi membuat rawatan di Kuala Lumpur.

“Sepanjang duduk di sini suaminya tidak pernah pula membuat hal, isteri juga baik mereka tidak pernah tidak bayar sewa rumah. Bahkan jiran-jiran juga tidak mendengar sebarang bunyi mereka bergaduh ataupun bunyi bising ketika kejadian berlaku pagi tadi,”katanya lagi.

Tambahnya, suaminya yang melaporkan kejadian itu kepada pihak polis dan suspek pula hanya berserah diri ketika ditahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa warga Rohingya ditemui tidak bernyawa di dalam rumah sewanya dengan kesan hentakan di kepala dan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 7 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala akibat dihentak dengan objek tumpul yang dipercayai lesung. Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki Rohingya berusia 35 tahun di sekitar lokasi kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi. Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |