HULU SELANGOR – Faktor sewa kediaman serendah RM400 hingga RM600 sebulan serta pengaruh rakan senegara dikenal pasti antara sebab utama warga asing memilih kawasan luar bandar sebagai lokasi untuk menetap dan bersembunyi.
Perkara itu didedahkan susulan penahanan 73 warga asing dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Selangor di Apartmen Seri Semarak, Bukit Beruntung.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, antara yang ditahan membabitkan 26 lelaki Pakistan, 19 lelaki Myanmar, enam lelaki Bangladesh, empat lelaki Nepal, seorang lelaki India serta 17 wanita Pakistan.
Katanya, seramai 188 warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan dan daripada jumlah itu, 73 individu disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Kebanyakan mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala sebahagian lagi dipercayai tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama.
“Kesemua yang ditahan berusia antara setahun hingga 55 tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi berkenaan malam tadi.
Menurut Khairrul Aminus, operasi tersebut dilaksanakan susulan aduan wakil penduduk yang berasa tidak selesa dengan kehadiran segelintir warga asing yang didakwa sering menimbulkan kekacauan, mabuk serta membuat bising.
“Ada antara mereka tidak mengendahkan teguran penduduk setempat. Oleh itu, operasi bersepadu seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tindakan lebih menyeluruh dapat diambil.
“Kita dapati warga asing ini tinggal secara berkongsi, antara empat hingga tujuh orang dalam satu unit kediaman, sama ada berkeluarga atau bujang,” jelasnya.
Tambahnya, terdapat juga warga asing yang memiliki pas sah dan bekerja sebagai pengawal keselamatan serta buruh binaan termasuk di sekitar Kuala Lumpur.
“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih bagi siasatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan warga asing yang tinggal lebih masa atau tidak mempunyai dokumen supaya mengambil peluang menyertai Program Repatriasi Migran yang akan berakhir pada 30 April ini.
“Mereka hanya perlu membeli tiket sehala untuk pulang ke negara asal serta membayar RM520 dan kami tidak akan mengambil tindakan tangkapan terhadap mereka yang tampil secara sukarela,” katanya.
Operasi berkenaan melibatkan seramai 135 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Imigresen Selangor, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Antidadah Kebangsaan serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2












![[VIDEO] ‘Saya tak boleh biarkan Firdaus bersendirian’](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/cikgu-1.jpeg)




































