Saya tidak pernah terima rasuah seperti dalam pertuduhan – Bung Moktar

9 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk seri Bung Moktar Radin memberitahu beliau tidak pernah memperoleh atau menerima apa-apa rasuah secara langsung atau tidak langsung daripada dua ejen pelaburan berhubung pelaburan Felcra dalam unit amanah RM150 juta.

Dua ejen pelaburan itu tersebut ialah Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar yang mana kesemua wang yang didakwa diperoleh itu masing-masing RM2.2 juta, RM262,500 dan RM337,500.

Bung Moktar, 66, yang merupakan saksi pembelaan pertama itu berkata beliau juga tidak pernah memperoleh atau menerima apa-apa wang menerusi isterinya Zizie Izette A Samad daripada kedua-dua ejen pelaburan tersebut seperti mana tiga pertuduhan.

“Secara ringkasnya, saya tidak pernah memperoleh atau menerima untuk diri saya secara rasuah atau sebaliknya wang tunai RM2.2 juta tersebut daripada daripada Madhi melalui isteri saya, Zizie Izette A Samad sebagai dorongan untuk saya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad pada tarikh, masa dan lokasi yang dinyatakan di dalam pertuduhan pindaan pertama.

“‘Saya tidak pernah memperoleh atau menerima untuk diri saya secara rasuah atau sebaliknya wang berjumlah RM 262,500 tersebut daripada daripada Madhi melalui akaun Public Islamic yang didaftarkan atas isteri saya, Zizie Izette A Samad sebagai dorongan untuk saya mendapatkan kelulusan daripada MenteriKewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad pada tarikh, masa dan lokasi yang dinyatakan di dalam pertuduhan.

“Saya juga tidak pernah memperoleh atau menerima untuk diri saya secara rasuah atau sebaliknya wang berjumlahRM337,500 tersebut daripada daripada Madhi yang didaftarkan atas isteri saya, Zizie Izette A Samad sebagai dorongan untuk saya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad pada tarikh, masa dan lokasi yang dinyatakan di dalam pertuduhan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membaca pernyataan saksinya ketika memberi keterangan pada pemeriksaan utama prosiding bela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad di sini hari ini.

Sementara itu, Bung Moktar turut menafikan mengarahkan atau meminta Zizie Izette untuk menerima RM2.8 juta selain tiada bukti niat bersama yang dibuktikan pihak pendakwaan.

Peguam: Adakah kamu pada bila-bila masa yang material mengarahkan atau meminta isteri kamu, Zizie Izette untuk menerima wang RM2.8 juta tersebut masing-masing pada 12 dan 17 Jun 2015 daripada Norhaili dan Madhi bagi pihak kamu?

Bung Moktar: Tidak pernah, kerana saya langsung tidak mengetahui bahawa isteri saya akan dan telah menerima wang RM2.8 juta tersebut masing masing pada 12 dan 17 Jun 2015 daripada Norhaili dan Madhi.
Peguam: Mengapakah kamu tidak mengetahui tentang hal tersebut?

Bung Moktar: Kerana saya tidak pada bila-bila masa dimaklumkan oleh isteri saya mengenai penerimaan wang tersebut. Saya juga tidak dimaklumkan oleh mana-mana orang mengenai hal tersebut sehinggalah saya dipanggil untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar tahun 2016 atau 2017.

Perbicaraan bela diri bersambung lagi esok.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di sebuah bank Taman Melawati di sini pada 12 Jun 2015.

Pertuduhan ketiga, Bung Moktar turut dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama pada 17 Jun 2015.

Justeru kedua-duanya, didakwa mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |