‘Saya benar insaf, tak mahu ulang kesilapan lalu’

3 hours ago 1

SEBERANG PERAI – Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini lebih bermakna buat 102 prospek penjara di Pulau Pinang apabila masing-masing dibebaskan secara berlesen hari ini.

Daripada jumlah tersebut, 67 orang dibebaskan dari Penjara Seberang Perai manakala 35 lagi dari Penjara Pulau Pinang.

Seorang Orang Bebas Berlesen (OBB), dikenali sebagai Ah Heng, 56, meluahkan rasa syukur kerana berpeluang pulang lebih awal dan menyambut perayaan bersama isteri serta anaknya selepas enam bulan menjalani hukuman berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Saya benar-benar insaf dan tidak mahu mengulangi kesilapan lalu. Saya mahu bekerja keras demi keluarga,” katanya ketika ditemui selepas Program Pelepasan Banduan Berlesen (PBSL) MADANI Yakin – Kepulangan Dinanti di Penjara Seberang Perai, Jawi di sini, hari ini.

Seorang lagi prospek , Ah Chan, 64, yang pernah beberapa kali keluar masuk penjara turut bertekad menjadikan peluang kali ini sebagai titik perubahan untuk membina semula kehidupan.

“Saya mahu jadikan peluang ini untuk pulang ke pangkuan anak dan kali ini, saya mahu menjaganya dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Pulau Pinang, Mahadzair Che Daud berharap pembebasan berlesen itu dapat membantu prospek memulihkan maruah dan menyatukan kembali institusi kekeluargaan dengan sokongan masyarakat.

“Selain itu, seramai 32 majikan berdaftar menyertai Program Corporate Smart Internship (CSI) dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada OBB. Ada juga majikan yang turut menawarkan peluang pekerjaan tetap kepada prospek selepas mereka dibebaskan sepenuhnya.

“Kita turut menjalinkan kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia sejak Julai lalu meliputi pelbagai aspek pemulihan dan pembentukan sahsiah antaranya kaunseling dan kuliah agama,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |