Satu lukisan RM1

3 hours ago 1

PETALING JAYA – Sekumpulan kanak-kanak mencuri perhatian apabila menjual lukisan tangan mereka pada harga hanya RM1 sekeping di sebuah pasar malam, sekali gus meraih pujian ramai kerana memilih untuk berkarya berbanding leka dengan gajet.

Perkongsian itu dimuat naik oleh pengguna TikTok, @RiderNom yang tidak menyangka terserempak dengan kanak-kanak terbabit ketika berkunjung ke pasar malam berkenaan.

Menurutnya, dalam era moden yang menyaksikan ramai kanak-kanak terdedah kepada kandungan digital dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), masih ada yang setia memegang pensel, krayon dan berus warna untuk berkarya.

“Tak terjangka akan jumpa adik-adik kecil yang jual lukisan dekat pasar malam. Zaman sekarang kebanyakannya asyik dengan telefon dan permainan.

“Tapi mereka ini masih melukis sebab minat dan seronok. Ada yang lukis dan terus warnakan di situ juga,” katanya pada ruang kapsyen hantaran tersebut.

Pengguna itu memaklumkan, kanak-kanak berkenaan tidak menawarkan lukisan motosikal, namun sanggup melukis satu khas secara percuma buatnya sebagai tanda penghargaan.

“Dekat pasar malam tu, mereka tak tawarkan lukis motosikal. Tapi mereka buat satu percuma untuk saya. Terharu betul,” ujarnya.

Rata-rata pengguna media sosial turut tersentuh dengan inisiatif tersebut dan memuji semangat keusahawanan serta bakat seni yang ditunjukkan kanak-kanak berkenaan.

“RM1 bukan nilai sebenar lukisan itu, tapi usaha dan keberanian mereka yang mahal,” tulis seorang pengguna.

“Kalan scan (imbas) dan letak dekat t-shirt atau cawan, comel,” cadang Mia.

Sementara itu, ada juga pengguna lain berkongsi pernah terserempak dengan kanak-kanak yang mengambil inisiatif berniaga untuk mendapatakn duit.

“Jumpa budak-budak jual cincin dan gelang rantai terus beli tiga cincin. Mereka diy (hasilkan sendiri) sendiri. Kecil-kecil dah pandai cari duit poket sementara mak ayah berniaga juga,” kongsi @Amelluvvy. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |