PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Oktober depan dilihat bukan untuk menyusahkan rakyat, sebaliknya berperanan ‘memperkaya’ golongan itu khususnya kumpulan B40.
Susulan itu, tanggapan sesetengah pihak mendakwa RUU PSB sebagai merampas hak penduduk perlu dihentikan sepenuhnya, sebaliknya ia terus memfokuskan memberi nafas baharu kepada kehidupan rakyat.
Dalam konteks ini, menerusi 10 prinsip yang digariskan, RUU PSB akan terus menjaga hak dan kepentingan penduduk, seterusnya menggambarkan sifat manusiawi Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, antara prinsip digariskan dalam PSB termasuklah memerlukan persetujuan 80 peratus sebelum rundingan dibuat bagi pelaksanaan pembaharuan semula itu.
Katanya, ambang persetujuan sebanyak 80 peratus itu membolehkan proses rundingan dilaksanakan sebelum dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Eksekutif Negeri dan Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan untuk langkah seterusnya.
Menurut beliau, menerusi prinsip digariskan itu juga, penduduk terlibat kekal di tempat asal selain tidak dihalau keluar selepas kawasan kediaman dibangunkan semula.
Katanya, penduduk layak mendiami kawasan sama selepas dibangunkan kecuali mereka sendiri membuat keputusan untuk berpindah ke lokasi lain.
“Sementara itu, melalui prinsip seterusnya pula, kerajaan akan terus menjaga kepentingan pemilik tanah yang mana pampasan ditawarkan juga jauh lebih baik berbanding keadaan asal.
“Sebagai contoh, rumah penduduk sekarang ialah seluas 500 kaki persegi sahaja dengan mempunyai satu bilik tidur dan satu bilik air.
“Jadi, selepas pembaharuan semula bandar dengan mengikut dasar KPKT, minimum penduduk akan dapat unit 750 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air,” katanya pada sidang akhbar khas di sini baru-baru ini.
Kor Ming berkata, manfaat ditawarkan kepada rakyat menerusi PSB merupakan usaha kerajaan ‘memperkaya’ rakyat dengan pampasan diterima adalah lebih baik berbanding unit terdahulu.
“Jika dahulu harga rumah penduduk sekitar RM70,000 ke RM100,000 sahaja, namun ia boleh naik mencecah kepada RM500,000 lepas pembaharuan semula bandar.
“Akta PSB ini untuk apa? Untuk memperkaya rakyat kita. Kerajaan mahu memberi lebih manfaat kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Kor Ming turut memberi jaminan penempatan sementara yang disediakan menerusi PSB lebih bersifat kondusif dan tidak menyusahkan penduduk.
“Pemaju mesti bina satu blok sementara dahulu sebelum projek baharu dimulakan. Penduduk boleh pindah ke blok itu sehingga rumah baharu siap.
“Jika tidak mahu pindah ke blok sementara, pemaju diwajibkan beri subsidi sewa. Penduduk boleh pilih untuk tinggal di mana sahaja sementara menunggu rumah siap,” katanya.
Menurut Kor Ming, pilihan itu diberikan supaya rakyat bebas menentukan kediaman sementara tanpa sebarang tekanan.
Secara dasarnya, kesemua prinsip itu digubal untuk memastikan rakyat mendapat manfaat sebenar daripada RUU PSB, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat selepas memiliki rumah baharu lebih bernilai.
Selain itu, setakat ini, terdapat sebanyak 534 kawasan di seluruh negara yang dikenal pasti oleh Pihak Berkuasa Negeri bagi tujuan PSB dengan melibatkan negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Perak.
Ia antaranya melibatkan sebanyak 22 kawasan di Terengganu selain Kedah (55), Kuala Lumpur (139), Perak (85), Kelantan (4), Selangor (72), Johor (36), Pahang (58), Pulau Pinang (5) dan Negeri Sembilan (49).
Untuk rekod, RUU PSB telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 21 Ogos lalu dan akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada Oktober depan sebelum dijangka diwartakan bermula tahun depan. -KOSMO! ONLINE