RM25,500 jadi tarikan kaki pancing di Surfcasting Tanjung Harapan Challenge 2025

9 hours ago 2

KLANG – Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM25,500 bakal menjadi rebutan ratusan kaki pancing dari seluruh negara menerusi pertandingan Surfcasting Tanjung Harapan Challenge 2025 yang bakal berlangsung pada Ahad ini di pesisir pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang.

Hadiah utama berupa wang tunai RM10,000 disediakan untuk juara, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM3,000 dan RM1,000.

Pertandingan yang dijadualkan bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu dianjurkan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersama Kail Kota Events dengan sokongan Tourism Malaysia, bersempena kempen Visit Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2025.

Menurut jurucakap penganjur, Zaiton Ahmad berkata, acara ini bukan sekadar sukan memancing, malah merupakan platform penting untuk menaikkan Tanjung Harapan sebagai pusat rekreasi komuniti dan destinasi pelancongan berasaskan aktiviti luar.

“Tanjung Harapan mempunyai potensi besar sebagai lokasi riadah keluarga dan aktiviti komuniti. Melalui pertandingan ini, kita bukan sahaja menggalakkan aktiviti sihat dalam kalangan masyarakat, malah mempromosikan keindahan semula jadi dan daya tarikan pelancongan Klang,” katanya.

Yuran penyertaan hanya RM70 untuk satu joran (dua mata kail) dan 400 peserta terawal akan menerima baju-T eksklusif secara percuma.

Kawasan Tanjung Harapan sememangnya terkenal dalam kalangan kaki pancing sebagai lokasi strategik untuk menangkap pelbagai spesies ikan popular.

Antara spesies yang sering dinaikkan termasuk pari, senangin, gelama, kerapu, sembilang, belukang, tetanda, duri, ketuka dan jenahak.

Pendaftaran awal akan dibuka pada 6 September (Sabtu) dari jam 3 petang hingga 7 malam, serta pada pagi 7 September (Ahad) dari 6.30 pagi hingga 10 pagi di khemah penganjur.

Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, orang ramai boleh menghubungi talian 013-266 7011, 017-680 5934, atau 012-284 6811.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |