RM1,000 ‘servis’ 45 minit, RM3,500 untuk 90 minit

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Bayaran sebanyak RM1,000 bagi tempoh 45 minit dan RM3,500 bagi 90 minit.

Itu kadar yang dikenakan oleh sebuah sindiket yang menjalankan kegiatan persundalan di sebuah banglo mewah tiga tingkat di Persiaran Ritchie, Desa Pahlawan, Kuala Lumpur, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, kegiatan yang menyasarkan pelanggan warga asing dan tempatan berbangsa Cina sahaja itu berjaya dibongkar menerusi satu satu Operasi Khas, bermula pukul 12.27 tengah malam.

Beliau berkata, premis itu dilengkapi pelbagai kelengkapan dengan bilik yang telah diubah suai bagi menjalankan aktiviti yang dipercayai telah beroperasi selama enam bulan.

“Premis ini dipercayai dikendalikan oleh seorang lelaki warga China dan berada di kawasan kediaman mewah bagi mengelakkan aktiviti ini dikesan oleh pihak berkuasa.

“Pekerja lelaki warga China dikenali sebagai ‘salesman’ akan mencari pelanggan menggunakan platform dalam talian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Susulan itu beliau berkata, seorang lelaki warga China dipercayai dalang utama telah ditahan menerusi operasi berkenaan bersama 39 yang lain terdiri daripada 11 lelaki dan 19 wanita warga China, Vietnam (lima), Myanmar (dua) serta Jepun (dua).

“Kesemua 40 individu yang ditahan berusia antara 21 hingga 43 tahun. Pemeriksaan awal mendapati dalang utama dan seorang lagi lelaki warga China memiliki pas penggajian yang masih sah.

“Bagaimanapun, enam lelaki dan 19 wanita warga China, dua wanita warga Jepun serta lima wanita warga Vietnam hanya memiliki pas lawatan sosial, sementara yang lain, gagal kemukakan sebarang dokumen perjalanan sah,” ujarnya.

Turut disita kata beliau, 29 pasport China, lima pasport Vietnam, dua pasport Jepun serta wang tunai berjumlah RM26,600 dipercayai hasil kegiatan berkenaan.

“Dua kenderaan iaitu Honda Insight dan Tesla Model 3 turut disita bagi membantu siasatan.

“Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut manakala seorang lelaki warga Singapura dan seorang lagi warga tempatan diberikan notis untuk hadir membantu siasatan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |