JAKARTA – Sebagai tanda solidariti dan sokongan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Grab merangkap pengasas bersama, Anthony Tan berlepas dari Singapura ke Makassar, Indonesia semalam, lapor portal berita MSNews hari ini.
Dia pergi ke Makkasar untuk menziarahi keluarga Rusdamdiansyah atau lebih dikenali sebagai Dandi.
Dandi merupakan pemandu Grab berusia 26 tahun yang meninggal dunia pada 29 Ogos lalu selepas dipukul ketika berlaku kekacauan di hadapan kampus Universiti Muslim Indonesia.
Menurut portal berita CNA Indonesia, Dandi ketika itu sedang merakam foto dan video demonstrasi apabila dia tersilap dituduh sebagai pegawai risikan penyamaran sebelum diserang.
Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala termasuk pendarahan otak dan retak pada tengkorak sebelum meninggal dunia, beberapa hari selepas berada dalam keadaan koma.
Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Makassar mengesahkan bahawa Dandi tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan yang mencetuskan kekacauan tersebut.
Dalam rombongan itu, Anthony turut disertai oleh beberapa pemimpin Grab Indonesia iaitu Dyah NK Makhijani, Dion Soetadi, Halim Wijaya, Tirza Munusamy dan Melinda Savitri.
Mereka turut memberikan sokongan moral dan bantuan kewangan kepada keluarga Dandi.
“Grab mahu memastikan bahawa dalam suka dan duka, keluarga arwah Dandi tidak pernah bersendirian,” kata Anthony dalam satu kenyataan.
Sokongan Grab termasuk bantuan kewangan segera, bantuan logistik serta perlindungan kesihatan.
Selain itu, Grab juga akan menyediakan modal perniagaan melalui bimbingan GrabKios, sebuah platform digital yang direka untuk membantu individu, pemilik kedai kecil dan usahawan mikro meningkatkan pendapatan mereka. – AGENSI