PUTRAJAYA- Kesemua penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh menebus baucar bersubsidi bernilai RM30 bagi membantu membiayai sebahagian kos produk insurans dan takaful mampu milik mulai semalam.
Produk insurans dan takaful mampu milik itu adalah yang mempunyai jumlah premium atau sumbangan tahunan sekurang-kurangnya RM50, di bawah program Baucar Perlindungan Tenang 3.0 (PTV3.0).
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui kerjasama industri insurans dan takaful itu, kerajaan memperuntukkan RM60 juta di bawah Belanjawan 2025 untuk menampung kos produk perlindungan di bawah PTV3.0
Katanya, ia bagi memastikan akses yang lebih meluas kepada isi rumah berpendapatan rendah.
“Usaha ini melengkapi inisiatif lain seperti Skim Perubatan Madani dan PeKa B40, bagi memperkukuh jaring keselamatan sosial menerusi kerjasama awam–swasta yang bersasar.
“PTV3.0 mencerminkan iltizam Kerajaan Madani untuk menggapai hasrat meningkatkan taraf hidup rakyat seperti termaktub dalam kerangka Ekonomi Madani,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sesebuah negara hanya boleh bangkit bersama apabila setiap isi rumah mendapat perlindungan sewajarnya.
Katanya, inisiatif ini adalah untuk mengembalikan maruah dan membina ketahanan segenap lapisan masyarakat.
Jelas Perdana Menteri, melalui PTV3.0, kerajaan tekad untuk memperluas akses kepada semua.
“Seyogia, keterjaminan kesihatan dan keselamatan bukanlah kemewahan yang boleh dirasai oleh sesetengah kelompok sahaja,” tambahnya.
Selaras pendekatan Kerajaan Madani untuk menyalurkan bantuan yang bersasar dan saksama, MoF akan melaksanakan protokol pengesahan identiti dalam PTV3.0 bagi memastikan permohonan yang sahih dan menepati kelayakan.
Penerima STR boleh menyemak kelayakan dan merujuk Soalan Lazim PTV3.0 di www.myptv.my, atau mengunjungi mana-mana ejen, pengedar, atau premis penyedia yang mengambil bahagian. Senarai penuh produk yang layak boleh didapati di www.mycoverage.my. – KOSMO! ONLINE