Pemandu Grab ‘belanja’ wanita bersalin

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa syukur apabila selamat melahirkan cahaya mata tepat pada tarikh jangkaan bersalin dengan bantuan seorang pemandu e-hailing.

Menerusi perkongsian di Threads oleh pengguna dikenali sebagai Syafiqahnorazman, dia memaklumkan telah selamat bersalin pada 12 Februari 2026 pukul 10.51 malam, sama seperti tarikh jangkaan yang ditetapkan.

“Alhamdulillah, saya dah selamat bersalin. Masuk labour room (bilik bersalin) pukul 9 malam lebih, bersalin 10 malam lebih tanpa koyak dan jahit. Ya Allah, terima kasih semua berjalan dengan lancar,” kongsinya.

Menurut wanita itu, detik cemas bermula apabila dia menaiki perkhidmatan e-hailing dari kawasan Pandan Indah, Kuala Lumpur untuk ke Hospital Ampang dalam keadaan menahan sakit kontraksi yang semakin kuat.

Katanya, sebaik sahaja dijemput, pemandu dikenali Lai Wai Kin bertanya mengenai keadaannya selepas melihat dia kelihatan tidak selesa.

“Dia ‘pickup’ tanya kenapa sebab nampak saya sakit. Saya cakap nak beranak. Cakap pun dah tak lalu sebab sakit sangat,” ujarnya.

Bercerita lanjut, wanita itu berkata, pemandu berkenaan memaklumkan dia tidak perlu membayar tambang perjalanan ke hospital.

“Tahu-tahu dia cakap tak payah bayar pun untuk caj ke hospital,” kongsinya.

Wanita itu turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan mendoakan kesejahteraan pemandu terbabit sempena sambutan Tahun Baharu Cina akan datang.

“Selamat Tahun Baharu Cina untuk awak dan keluarga! Semoga yang baik-baik sentiasa bersama awak,” katanya.

Perkongsian tersebut meraih perhatian pengguna Threads yang lain dan rata-ratanya tersentuh dengan keprihatinan pemandu berkenaan, selain mendoakan kesejahteraan wanita itu dan bayinya.

“Lai Wai Kin, semoga perkara baik berbalik pada awak, tahniah awaknya selamat berpantang ya,” ucap @izxati_.

“Semoga lampu isyarat untuk dia (pemandu Grab) sebtiasa hijau dan dapat pelanggan yang baik-baik,” kata Kakchimoy.

“Selamat berpantang awak. Tahniah juga kepada pemandu Grab itu kerana ikhlas bantu ibu hamil. Moga pihak Grab beri angpau pada abang ni sempena Tahun Baharu Cina,” kata Syuhada. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |