KUALA LUMPUR – “Saya tak tahu macam mana saya boleh melabur sehingga RM320,000. Macam kena (pukau) pun ada”.
Demikian kata seorang mangsa penipuan pelaburan tahyul membabitkan dana emas dan tunai didakwa bernilai puluhan bilion dolar Amerika Syarikat (AS) di luar negara.
Mangsa dikenali Bakri, 45, berkata, dia mula menyertai skim terbabit selepas diajak seorang rakan yang merupakan salah seorang ketua pelaburan pada 2022.
“Saya sertai skim ini daripada kawan. Pada awalnya, saya hanya daftar kerana peribadi (wakil syarikat) yang ditemui sangat baik.
“Rupanya, mereka hanya menggunakan imej orang alim dan agamawan untuk memperdayakan ahli bagi mengutip dana,” katanya ketika ditemui di Menara KPJ, di sini hari ini.
Menurut Bakri, dia yang menetap di Melaka bagaimanapun gagal mendapatkan sebarang pulangan sehingga kini.
“Pelaburan awal yang saya buat hanya sebanyak RM1,000 untuk selesaikan ‘task’ (tugasan). Ada banyak tugasan seperti Geneva dan Frankfurt.
“Sepanjang saya sertai pelaburan, lebih 10 tugasan saya telah buat. Jika tidak buat tugasan, mereka akan ugut untuk tidak pulangkan modal,” ujarnya.
Dalam pada itu, Bakri berkata, kali terakhir dia berhubung dengan wakil syarikat adalah pada April lalu.
“Dia (wakil) ada telefon selepas raya. Kali ini dia minta lagi duit. Katanya kalau ada modal bolehlah tolong sikit dan saya terus matikan panggilan.
“Saya harap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempercepatkan siasatan supaya mereka yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan,” jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 57 individu mengalami kerugian hampir RM8.4 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tahyul.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, penipuan dijalankan sebuah syarikat itu dimiliki seorang lelaki tempatan didakwa mempunyai gelaran Datuk Seri berusia 60-an.
Terdahulu, polis menerima 43 laporan berhubung sindiket berkenaan sejak 2023 dan sudah membuka 15 kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa dilaporkan berkata, pihaknya sudah merekod 40 keterangan berhubung penipuan berkenaan membabitkan 37 mangsa dan tiga saksi untuk membantu siasatan lanjut.
Malah, semakan turut mendapati gelaran Datuk Seri yang dimiliki pemilik syarikat berkenaan juga palsu. – KOSMO! ONLINE