PETALING JAYA – Pegawai Penyiasat Kanan yang mengendalikan kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin menafikan siasatan terhadap kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu untuk mengenakan mereka.
Semasa disoal balas pihak pembelaan, Asisten Superitendan Mohd. Hafizee Ismail, 38, tidak bersetuju apabila dikatakan siasatan kes adalah sambil lewa terhadap Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari yang merupakan tertuduh dalam kes pengabaian itu.
Peguam: Saya cadangkan kepada ASP (Asisten Superitendan) sekali lagi, penyiasatan ASP terhadap kes ni sambil lewa dan hanya menumpukan perhatian utk mengenakan kedua-dua tertuduh?
Saksi: Tidak setuju
Peguam: Saya cadangkan bukan saja saksi-saksi diminta untuk mengaitkan dan mengenakan tertuduh, anda juga memainkan satu peranan di mahkamah untuk memesongkan fakta semata-mata untuk mendapatkan sabitan?
Saksi: Tak betul
Dalam prosiding sama, saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa siasatan ke atas kes adalah lemah dan tidak lengkap.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi esok.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE