Pearly-Thinaah dapat pengajaran berguna

6 hours ago 3

KEKALAHAN di perlawanan akhir mungkin sesuatu yang sukar untuk diterima apabila menyaksikan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah sekadar muncul naib juara pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis.

Bagaimanapun, ia juga boleh menjadi satu rahmat apabila Thinaah menganggap mereka sudah belajar sesuatu daripada lawan mereka di final, iaitu gandingan No. 1 dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Thinaah mengakui, kekecewaan tetap ada kerana tidak dapat membawa pulang gelaran dunia, namun dia memberikan kredit kepada lawan yang menampilkan aksi cukup baik selain memberi tekanan sepanjang perlawanan.

“Secara jujur, kami gembira kerana dapat melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Dunia kali ini. Bagaimanapun, agak kecewa kerana tidak dapat menyumbangkan kejuaraan buat Malaysia.

“Kami perlu berikan kredit kepada pemain lawan kerana mereka bermain sangat baik dan sentiasa memberikan tekanan menerusi pukulan-pukulan yang dilakukan. Mereka juga bermain cukup tenang,” katanya.

Pada perlawanan akhir di Adidas Arena malam kelmarin, kedua-dua beregu menyajikan aksi cukup menarik apabila bermain sehingga set penentuan sebelum Sheng Shu-Tan Ning menang 21-14, 20-22, 21-17 dalam tempoh 83 minit.

Biarpun gagal membawa pulang gelaran juara, namun pencapaian Pearly-Thinaah sangat membanggakan apabila menjadi beregu wanita pertama dalam sejarah sukan negara memenangi pingat pada Kejohanan Dunia.

Thinaah juga menganggap gelaran naib juara yang diraih terus menjadi suntikan semangat untuk dia dan Pearly untuk terus meningkatkan kemampuan diri bagi menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang.

“Sudah tentu banyak perkara positif yang boleh diambil daripada Kejohanan Dunia kali ini. Bagi saya, pencapaian ini akan melonjak semangat kami untuk mempamerkan aksi lebh baik pada masa hadapan,” tambahnya.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak bangga dengan semangat setiakawan yang dipamerkan Pearly-Thinaah sepanjang perlawanan tersebut apabila saling memberikan sokongan.

“Memang beregu China memberikan tekanan cukup kuat di set pertama sehingga menyebabkan kita terpaksa menukar cara bertahan. Saya juga bangga dengan semangat setiakawan Pearly-Thinaah ketika berdepan situasi sukar,” ujarnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |