PETALING JAYA – Tragedi kehilangan dan pembunuhan kejam kanak-kanak 8 tahun, Nurin Jazlin Jazimin, pada 2007 terus menghantui ingatan rakyat Malaysia meskipun sudah 17 tahun berlalu.
Kes yang sehingga kini masih belum terungkai itu kembali mendapat perhatian selepas Public Health Malaysia (PHM) berkongsi semula kronologi kejadian di Facebook hari ini.
“Nurin Jazlin seorang kanak-kanak berusia 8 tahun, anak kedua daripada empat beradik, seorang gadis manis yang agak pendiam tetapi penyayang, suka ikut kakaknya bermain dan sering mengalah demi adik-adik.
“Namun pada malam 20 Ogos 2007, ketika dia meminta izin untuk ke pasar malam membeli klip rambut, ibu akhirnya mengalah. Lokasi hanya berhampiran rumah. Itulah kali terakhir Nurin dilihat hidup-hidup,” kongsi PHM.
Menurut PHM, kehilangan kanak-kanak itu mencetuskan panik nasional, dengan masyarakat seluruh negara mengikuti rapat laporan media dan berpegang pada harapan agar Nurin Jazlin ditemui selamat.
Bercerita lanjut, PHM memberitahu, pada 17 September 2007, penantian itu bertukar tragedi apabila mayat seorang kanak-kanak ditemui dalam sebuah beg sukan biru di Petaling Jaya.
Kata PHM, pemeriksaan forensik mengesahkan mayat berkenaan adalah Nurin Jazlin.
“Saat autopsi dijalankan, kebenaran yang terkuak membuat seluruh Malaysia menggigil. Tubuh kecil itu bukan sekadar mayat ia saksi kepada penyeksaan paling kejam,” kata PHM.
Tambah PHM, walaupun polis menubuhkan pasukan khas dan beberapa tangkapan dibuat, siasatan gagal membawa sebarang pendakwaan.
“Fail siasatan makin tebal, tetapi jalannya buntu. Siasatan polis berlarutan bertahun-tahun. Namun hakikat paling pahit, hingga hari ini, pembunuh Nurin tidak pernah ditangkap.
“Kisah Nurin bukan sekadar kisah hitam dalam lipatan sejarah. Kes Nurin mengingatkan kita bahawa setiap kali seorang anak hilang, masa adalah nyawa,” jelas PHM. – KOSMO! ONLINE