PETALING JAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali bas terlibat dalam kemalangan yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Idris (UPSI) awal pagi tadi.
Jelas beliau, pada masa sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) ke atas bas serta syarikat terbabit mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715).
“Tindakan tegas akan diambil sejurus siasatan selesai. Kerajaan tidak akan berhenti dalam usaha memperkukuh dasar keselamatan jalan raya.
“Kami komited melindungi pengguna jalan raya, terutamanya daripada ancaman pemandu tidak bertanggungjawab serta kenderaan berat yang tidak memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan. Antara dasar yang sedang dirangka termasuklah pelaksanaan wajib Speed Limiter bagi kenderaan berat.
“Polisi ini sedang diteliti secara menyeluruh, termasuk menutup sebarang ruang manipulasi selepas ia dikuatkuasakan kelak,” jelas beliau dalam satu kenyataan.
Katanya, beliau turut mengambil maklum tindakan segera yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan pengurusan UPSI dalam menyantuni keluarga mangsa.
“Kejadian ini harus menjadi peringatan kepada semua pihak kerajaan, pengendali, dan masyarakat bahawa tiada kompromi dalam soal keselamatan nyawa. Saya amat sedih dan terkesan menerima berita nahas tragis yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI di Lebuhraya Timur–Barat, Gerik.
“Setiap nyawa yang terkorban adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, tetapi kepada masa depan negara. Saya merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa. Doa saya sentiasa mengiringi para mangsa dan ahli keluarga mereka yang sedang melalui saat yang amat sukar ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.