Nafas lancar Pelan Reformasi 2.0, bangkit kukuh

2 hours ago 1

PETALING JAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melancarkan Pelan Reformasi Nafas 2026-2030 (Nafas 2.0) sebagai langkah strategik memperkukuh tatakelola, hala tuju perniagaan serta kelestarian institusi itu demi kepentingan ratusan ribu warga peladang di seluruh negara.

Pelan bertemakan Transformasi, Pemerkasaan dan Berdaya Saing itu menjadi kerangka utama penstrukturan semula Nafas, merangkumi pembaharuan pengurusan, pengukuhan integriti dan peningkatan keupayaan perniagaan selari dengan agenda keterjaminan makanan negara.

Nafas memfokuskan reformasi berkenaan kepada lima teras strategik, iaitu tadbir urus dan kepimpinan organisasi, perundangan dan pematuhan, pengurusan perolehan, model perniagaan serta kelestarian kewangan, selain strategi komunikasi dan pemulihan kepercayaan awam.

Sebagai bukti komitmen terhadap agenda reformasi, dokumen strategik Pelan Reformasi Nafas 2.0 telah diserahkan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, sekali gus menyelaraskan hala tuju organisasi itu dengan dasar agromakanan negara.

Dalam sesi pembentangan khas, Pengerusi Majlis Penasihat Nafas, Tan Sri Zainal Rahim Seman, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Amir Mat Amin serta Pengurus Besar Nafas, Muhammad Faris Arriffin membentangkan kemajuan reformasi melibatkan pengurusan kewangan, proses perolehan dan tadbir urus korporat.

Hasil langkah pemulihan sejak 2023, Nafas mencatat keuntungan tertinggi dua tahun berturut-turut sejak penubuhannya pada 1972, iaitu RM227 juta pada 2024 dan RM201 juta pada 2025, selepas mengalami kerugian besar RM421 juta pada 2022 dan RM236 juta pada 2023.

Pemulihan itu dipacu melalui pengukuhan pendapatan teras, pemulihan unit perniagaan yang mencatat kerugian serta pemantapan kawalan dalaman organisasi.

Nafas turut berjaya memperoleh kontrak input pertanian bernilai kira-kira RM2.46 bilion bagi tempoh 2025 hingga 2028, selain menyumbang hampir RM1 bilion kepada hasil kumpulan menerusi tender terbuka di peringkat kementerian, agensi kerajaan dan pasaran terbuka.

Langkah agresif turut diambil bagi mengutip tuntutan bayaran tertunggak melebihi RM500 juta, sekali gus mengurangkan baki belum terima secara signifikan.

Dalam usaha merasionalisasikan pelaburan, Nafas menutup subsidiari yang mencatat kerugian terkumpul hampir RM200 juta, langkah yang menjana penjimatan tahunan sekitar RM5 juta serta membolehkan sumber difokuskan kepada entiti berdaya saing dalam sektor input pertanian, perkhidmatan agronomi dan teknologi pertanian.

Tadbir urus korporat juga diperkukuh melalui pemisahan fungsi pembuat dasar dan pelaksana serta penambahbaikan proses perolehan berasaskan prinsip persaingan adil dan nilai terbaik.

Dengan kedudukan kewangan yang lebih stabil, Nafas kini berada pada landasan terbaik untuk mengagihkan dividen kepada Pertubuhan Peladang Negeri serta memastikan bekalan baja sampai kepada hampir 200,000 pesawah secara lebih efisien, selaras kapasiti pengeluaran 360,000 metrik tan setahun.

Mohamad Sabu dalam sesi tersebut menegaskan, agenda reformasi itu bertujuan melindungi kepentingan lebih 600,000 ahli peladang agar aset organisasi diurus secara bertanggungjawab dan memberi pulangan adil kepada akar umbi.

Penyerahan pelan berkenaan menandakan peralihan Nafas daripada fasa pemulihan kepada fasa pengukuhan dan pengembangan, sejajar dengan kerangka Malaysia Madani dan agenda Keterjaminan Makanan Negara.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |