SEGAMAT – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan melaksanakan latihan dan simulasi bagi menghadapi bencana gempa bumi di daerah ini.
Ketua Pengarah Nadma, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, latihan dan simulasi itu akan dilaksana melibatkan agensi kerajaan termasuk bomba, polis dan komuniti setempat serta badan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, inisiatif itu bukan perkara yang kuar buasa kerana telah dilaksanakan di Sabah pada tahun lepas dengan komuniti setempat.
“Nadma telah mengatur beberapa siri latihan dan simulasi. Bagaimanapun gegaran gempa bumi di Segamat berlaku di luar jangka.
“Maka kita secara berterusan akan melaksanakan program berkaitan Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) di Segamat bagi memberi kesiapsiagaan penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Pengurusan Risiko Bencana Gempa Bumi Bersama Pemimpin Komuniti Daerah Segamat Tahun 2025 di Dewan Serbaguna Jalan Genuang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, latihan simulasi itu akan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk terlibat secara langsung dalam persediaan menghadapi bencana.
Jelasnya, kaedah simulasi itu bukan sekadar latihan di bilik mesyuarat yang mana ianya akan melibatkan pelbagai senario seperti banjir, gempa bumi dan tanah runtuh supaya komuniti tahu tindakan yang perlu diambil sekiranya insiden benar-benar berlaku.
Beliau turut berkongsi kejayaan program serupa yang pernah dijalankan di Sabah pada tahun lalu, di mana komuniti setempat didapati lebih bersedia apabila berdepan insiden sebenar hanya beberapa hari selepas latihan simulasi dilaksanakan.
Justeru, apa yang berlaku di Segamat menjadi isyarat bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan balas yang progresif dan berterusan untuk memastikan rakyat benar-benar bersedia.
Katanya lagi, pelaksanaan program itu juga sejajar dengan Bulan Kesiapsiagaan Nasional yang diraikan setiap Oktober, yang selama ini lebih menumpukan aspek persediaan menghadapi banjir. – KOSMO! ONLINE