PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd. Hafez Sabri berhubung hantaran palsu berunsur perkauman di media sosial.
MCMC memaklumkan, keterangan itu diambil berhubung insiden seorang wanita menaiki pentas ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak di Ipoh, baru-baru ini.
Katanya, hantaran tersebut mendakwa kononnya tindakan tersebut dilakukan seorang perempuan berbangsa Cina.
“Seperti yang telah disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ini adalah tidak benar dan berpotensi
menimbulkan ketegangan kaum serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Sesi rakaman keterangan serta siasatan lanjut telah dijalankan dengan
kerjasama Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 2 September (semalam),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas MCMC, kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
MCMC menegaskan bahawa penyebaran kandungan palsu berunsur perkauman
merupakan perbuatan serius yang boleh mengancam keharmonian serta
ketenteraman awam.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial,” ujarnya.
Isnin lalu media melaporkan, Mohd. Hafez memohon maaf dan mengakui kekhilafan berhubung satu hantaran di Facebook miliknya yang tular berkaitan insiden cubaan seorang wanita menyerang Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Mohd. Hafez mendakwa hantaran awal yang dibuatnya telah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pada Ahad lalu, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Khairol Najib Hashim mengecam tindakan yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab oleh Mohd. Hafez menerusi hantaran di Facebook berkaitan insiden berkenaan.
Bagaimanapun, hantaran tersebut telah dipadam sebelum Pemuda Amanah Perak mendedahkan tangkap layar kenyataan pemimpin muda Pas itu. – KOSMO! ONLINE