Mahkamah Tinggi ketepi keputusan koroner

9 hours ago 4

PETALING JAYA – Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini mengetepikan keputusan koroner yang sebelum ini membenarkan peguam mewakili lima remaja dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak hadir sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Hakim, Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujahan daripada Sabah Law Society (SLS) dan Jabatan Peguam Negara berhubung permohonan semakan yang difailkan SLS serta pasukan peguam keluarga arwah secara berasingan pada 28 Ogos lalu.

Mahkamah turut menetapkan bahawa peguam pihak tertuduh berkenaan boleh mengemukakan semula permohonan di hadapan koroner baharu yang bakal mendengar inkues itu selepas koroner terdahulu menarik diri daripada mengendalikan kes berkenaan.

“Kami menjangkakan peguam pihak remaja akan membuat permohonan sekali lagi untuk hadir sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues esok. Sekiranya itu berlaku, kami akan memantau dan membuat bantahan jika perlu.

“Sebelum ini, permohonan kami sebagai pihak berkepentingan tidak dibantah Jabatan Peguam Negara, namun tertakluk kepada beberapa syarat termasuk had soalan kepada saksi serta akses kepada dokumen,” kata barisan peguam keluarga Zara Qairina pada sidang akhbar selepas prosiding semakan di Mahkamah Tinggi hari ini.

Pasukan peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina terdiri daripada Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Sementara itu, pasukan SLS diketuai Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin bersama Jamadi Saleh, Dominic Ghani dan Nabila Norsahar.

Pada 28 Ogos lalu, Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz, yang bertindak sebagai koroner, memutuskan prosiding inkues akan diteruskan seperti dijadualkan, namun akan didengar oleh koroner baharu iaitu Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.

Tarikh prosiding inkues ditetapkan bermula 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.

Pada 20 Ogos lalu, lima remaja mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kata-kata menghina terhadap Allahyarham Zara Qairina.

Inkues ini dijalankan susulan kematian Zara Qairina, 13, pelajar sebuah sekolah agama di Papar selepas ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokan harinya.

Kematian Zara Qairina mencetuskan solidariti meluas dalam kalangan masyarakat dengan seruan daripada pemimpin negeri, aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan supaya siasatan telus kes itu dijalankan demi keadilan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |