PETALING JAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggantung tugas lima pegawai kanannya yang ditahan kerana membocorkan maklumat operasi kepada kumpulan penyeludup baru-baru ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ATM juga sentiasa bersedia memberi kerjasama penuh kepada proses siasatan, serta mengelakkan penghukuman yang mendahului penghakiman.
“Dalam hal ini, jika mereka didapati bersalah, Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku pegawai berkenaan.
“Walaupun terjadinya insiden penangkapan ini, saya ingin memberi jaminan bahawa keseluruhan struktur dan operasi organisasi perisikan,” katanya dalam teks ucapan penggulungan dalam perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Negara hari ini.
Tegas Mohamed Khaled, walaupun terjadinya insiden penangkapan ini, beliau memberi jaminan bahawa keseluruhan struktur dan operasi organisasi perisikan ATM masih tidak terjejas sama sekali dan tidak merosakkan keseluruhan tugas perisikan yang dilaksanakan oleh ATM.
“Hal ini kerana organisasi perisikan ATM mempunyai sistem pengasingan maklumat. Ini bermakna pangkalan data dan maklumat strategik diasingkan secara terancang bagi mencegah berlakunya kebocoran maklumat.
“Selain itu, audit keselamatan dalaman juga sentiasa dilaksanakan bagi memastikan sistem maklumat dan kawalan keselamatan anggota benar-benar kukuh dan bebas daripada kelemahan,” ujarnya.
Beliau berkata, ia termasuklah pelaksanaan semakan latar belakang terhadap pegawai dan anggota, serta usaha berterusan untuk memperkukuh nilai integriti dan profesionalisme dalam kalangan pegawai perisikan di bawah organisasi ini.
Tambahnya, usaha ini sekali gus dapat mengurangkan risiko pendedahan anggota perisikan ke pada cubaan manipulasi dan unsur eksploitasi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan, khususnya mereka yang cuba melindungi kegiatan jenayah.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, semua maklumat sulit pertahanan negara dikawal rapi melalui prosedur keselamatan yang ketat, termasuk penggunaan rangkaian komunikasi tertutup dan sistem yang selamat.
“Kawalan akses berlapis, penggunaan teknologi enkripsi serta pemantauan rangkaian secara berterusan turut dilaksanakan.
“Dengan itu, Kementerian Pertahanan memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan negara masih lagi terkawal, tidak terancam dan tidak tergugat,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Op Sohor yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 13 Ogos lalu berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan yang dipercayai didalangi pegawai-pegawai kanan ATM.
Operasi dari Bahagian Perisikan dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) telah menahan lima pegawai kanan tentera berpangkat Leftenan Kolonel dan Kapten, selain lima orang awam berusia lingkungan 30-an hingga 50-an di sekitar Lembah Klang bermula jam 6.30 pagi.
Penahanan lima orang awam itu turut termasuk dua wartawan media dalam talian yang juga bekas tentera.
Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini terdiri daripada dadah, rokok dan barangan lain dari negara jiran yang melibatkan nilai kira-kira RM5 juta sebulan.
Hasil risikan yang dijalankan selama 12 bulan mendapati sindiket ini dipercayai membayar rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada pegawai-pegawai kanan tentera berkenaan setiap kali penyeludupan dilakukan.- KOSMO! ONLINE